Ekonomi Malaysia tumbuh sederhana pada kadar 4.2 peratus untuk suku pertama tahun ini berbanding 5.7 peratus suku sama tahun lepas.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Muhammad Ibrahim, pertumbuhan lebih rendah itu disumbang kejutan luaran dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih berhati-hati.

Tambahnya, walaupun bergerak ke separuh kedua tahun ini, pertumbuhan dijangka kembali mengukuh selepas impak cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta pelarasan harga reda.

"Bagi separuh pertama tahun ini, kami menjangkakan pertumbuhan lebih perlahan berbanding separuh pertama tahun lepas.

"Tetapi kami menjangkakan separuh kedua tahun ini menambah baik. Oleh itu, kami akan mencapai 4 hingga 4.5 peratus pertumbuhan bagi keseluruhan tahun ini.

"Data menunjukkan kami berada di landasan yang betul dan kami akan mencapai sasaran tersebut," kata Muhammad.

Mengikut sektor, perkhidmatan tumbuh 5.1 peratus suku pertama, sementara sektor pembuatan tumbuh 4.5 peratus.

Pertanian bagaimanapun terjejas dengan penurunan 3.8 peratus susulan fenomeno El Nino.

Dari segi penggunaan swasta, ia berkembang 5.3 peratus suku berkenaan disumbang pertumbuhan gaji dan pekerjaan.

Dari segi Ringgit, Muhammmad berkata ia pulih 5.9 peratus suku pertama.

"Ringgit mencerminkan asas negara kita dalam jangka panjang. Kita mempunyai asas yang kukuh.

"Rizab antarabangsa kita agak tinggi. Sistem kewangan kita mempunyai kepelbagaian. Pertumbuhan dan pinjaman positif dan kadar infllasi dapat diurus.

"Oleh itu, Ringgit akan tidak menentu dalam jangka pendek. Tetapi dalam jangka panjang ia akan stabil dan mencerminkan asas negara," kata Muhammad.

Dari segi inflasi, Muhammad berkata suku satu mencatatkan peningkatan kepada 3.4 peratus susulan penghapusan rebat traif elektrik pada Januari.

Pinjaman isi rumah dan perniagaan juga merekodkan pertumbuhan positif pada 7.6 peratus melibatkan jumlah RM262 bilion.

Kualiti pinjaman bagi isi rumah turut kekal terkawal dengan pinjaman tertunggak berada pada 6.4 peratus berbanding 7.7 peratus akhir Disember.