Malaysia dan China bersetuju mengaktifkan Kumpulan Kerja Kerjasama Ekonomi (ECWG), yang ditubuh di bawah Program Lima Tahun Untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan yang dimetrai pada 2013.

Matlamat kumpulan itu adalah untuk menyelia pelaksanaan dan pemudahan yang lancar projek sedang dijalankan di bawah program lima tahun itu, selepas kedua-dua negara mendapati perkembangan baik dan kepentingan strategik program berkenaan, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Ekonomi dan Perdagangan Ke-10 di antara kedua-dua negara di Beijing pada 8 September.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Perdagangan China, Gao Hucheng.

"Mesyuarat itu juga mengakui perkembangan dan pelaksanaan projek yang memuaskan di bawah inisiatif taman berkembar di antara kedua-dua negara (Kuantan di Malaysia dan Qinzhou di China) dan bersetuju untuk membantu menangani halangan dan memudahkan proses pelaksanaan," katanya.

Mustapa juga meminta bantuan rakan sejawatnya bagi memudahkan Malaysia Airlines Bhd (MAB) memperoleh pendaftaran perniagaan daripada Pentadbiran Perindustrian dan Perdagangan Beijing berikutan penstrukturan semula Malaysian Airline System baru-baru ini.

Mengenai Pekongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), MITI berkata, kedua-dua negara bersetuju bekerjasama rapat mempercepatkan kemajuan rundingan ke arah penyelesaian pada akhir 2015.

"Dalam hubungan ini, kedua-dua menteri menyedari tempoh pendek sebelum Pusingan Ke-10 RCEP di Busan, Korea Selatan pada Oktober 2015 dan mengarahkan pegawai kanan mereka untuk meningkatkan usaha menangani cabaran dan menghasilkan keputusan yang baik.

"China menyatakan komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia bagi penyelesaian penting RCEP untuk dibentang pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN yang dijadual pada akhir 2015," katanya.

Mustapa juga merasmikan pembukaan pejabat baharu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Beijing yang terletak di daerah Chaoyang, pusat kewangan dan perniagaan yang cergas.

"Pejabat baharu itu akan melengkapkan pejabat MIDA di Shanghai dan Guangzhou dan akan memberi perkhidmatan kepada perniagaan China yang beribu pejabat di Beijing, Tianjin, Hebei dan wilayah sekitarnya," kata MITI.

Tahun lepas, perdagangan dua hala di antara Malaysia dan China bernilai US$101.98 bilion.

Berdasarkan data Kementerian Perdagangan China, pelaburan Malaysia di China tahun lalu bernilai US$6.6 bilion manakala pelaburan China di Malaysia berjumlah US$1.6 bilion.