Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB), yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelancongan, mengumumkan satu lagi kemenangan bida bagi negara - Persidangan Nasional Tahunan Mesyuarat & Acara Australia (MEA) 2014.

Pengumuman itu dibuat pada upacara penutupan Persidangan Tahunan MEA 2013, bahawa MEA 2014 akan berlangsung di Malaysia selama empat hari dari 15 hingga 17 Mei, 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ini merupakan kali pertama persidangan itu diadakan di Asia Tenggara dan hanya kali kedua di luar Australia, kata MyCEB dalam satu kenyataan.

Ia dijangka menarik lebih 600 anggota perwakilan dan dianggarkan menjana impak ekonomi bernilai RM6.4 juta bagi negara ini.

"Kami berbangga mengumumkan kemenangan bida kami bagi Persidangan Tahunan MEA ini. Persidangan ini benar-benar bermakna kerana ia akan membawa industri mesyuarat Asia dan Australia lebih hampir kepada satu sama lain," kata Ho Yoke Ping, Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran MyCEB pada persidangan MEA 2013.

Persidangan itu akan dihadiri oleh anggota perwakilan dari bandar-bandar utama Australia, New Zealand, Malaysia dan Singapura.

Rakan penyokong yang akan bekerjasama dengan MyCEB untuk memastikan kejayaan persidangan ini termasuklah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Malaysia Airlines dan Radius Malaysia.

Persidangan MEA 2014 adalah satu daripada acara perniagaan utama yang akan berlangsung dalam Tahun Melawat Malaysia Tourism Malaysia.