Parlimen Perancis membatalkan kenaikan cukai import minyak sawit selepas bantahan dibuat oleh Indonesia dan Malaysia.

Pada Khamis, Dewan Negara mengundi untuk mengenakan cukai tambahan sebanyak 30 euro (RM137) setiap tan bagi tahun 2017, di atas levi 104 euro (RM475) levi sedia ada, iaitu satu per sepuluh daripada cukai tambahan yang diluluskan Senat.

Sebelum ini, cadangan cukai sebanyak 300 euro setiap tan minyak sawit telah diluluskan selepas menerima tekanan daripada pejuang alam sekitar. Mereka mendakwa kemusnahan sebahagian besar hutan hujan adalah disebabkan penanaman kelapa sawit secara besar-besaran.

Cukai tersebut digelar sebagai 'Cukai Nutella' di Perancis kerana minyak sawit digunakan dalam produk popular berkenaan.

BACA: MPOC kecam keputusan Perancis naikkan cukai import minyak sawit

Pelaksanaan cukai itu adalah di bawah rang undang-undang biodiversiti. Semasa Dewan Negara Perancis bersidang, ahli Parlimen parti Sosialis telah mencadangkan cukai baharu iaitu 90 euro bagi setiap tan minyak sawit, dan telah diluluskan setelah mendapat undi tertinggi.

Indonesia mengecam cadangan cukai Senat dengan menyifatkannya sebagai 'angkuh' dan 'keterlaluan' dan ia satu langkah yang boleh mengancam hubungan dua hala.

Ahli Parlimen Perancis, Jean-Louis Bricout dari Parti Sosialis, berkata bahawa bukan satu keperluan untuk 'tiba-tiba menjejaskan kestabilan bekalan kepada syarikat-syarikat di Perancis, atau hasil pengeluar minyak tersebut, yang kebanyakannya di negara-negara ekonomi membangun'.

Ia adalah kali ketiga sejak 2012, isu cukai telah dibawa ke Parlimen.