Malaysia menjana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM12.681 bilion (US$2.95 bilion) pada Ekspo Astana 2017 yang berlangsung selama 13 minggu, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Daripada jumlah itu, beliau berkata RM5.05 bilion diperoleh menerusi 14 Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh syarikat-syarikat Malaysia manakala baki RM7.63 bilion lagi menerusi potensi kerjasama hasil daripada sesi pemadanan perniagaan.

MoU itu yang meliputi bidang kerjasama dalam bidang teknologi hijau, pendidikan, minyak dan gas, inovasi, air dan air sisa, dan keusahawanan, diperoleh daripada kerajaan dan syarikat Kazakhstan, serta syarikat dari negara lain, termasuk India, China dan Switzerland.

"Sasaran perdagangan dan pelaburan kami untuk Ekspo 2017 hanya sebanyak RM1 bilion, namun kami berjaya mencatatkan 13 kali lebih banyak," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan penutupan pada Forum Perniagaan Tenaga Malaysia-Kazakhstan di sini pada Rabu.

Antara lain, MoU dimeterai bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia dan Kementerian Tenaga Kazakhstan membabitkan kerjasama dalam teknologi hijau dan tenaga boleh baharu, Ronser Bio-Tech Bhd dan Kazakhstan MEC LLP untuk hak pengedaran di Kazakhstan dan Asia Tengah serta NanoPac (M) Sdn Bhd dan Switzerland GC Global Consulting GMBH untuk teknologi nano dan teknologi sistem solar.

Satu lagi MoU dijangka ditandatangani hari ini antara Malaysia Accobiotech Sdn Bhd dan Kazakhstan Medilab untuk memasarkan produk perubatan Accobiotech bernilai RM50 juta di Kazakhstan.

Ongkili berkata syarikat-syarikat Malaysia memanfaatkan pendekatan impak tinggi menggunakan teknologi canggih pada ekspo berkenaan, yang menjadikan Pavilion Malaysia sebagai antara astaka yang paling banyak dikunjungi dan yang paling aktif melaksanakan program perniagaan di sepanjang tempoh ekspo berlangsung.

Beliau berkata sehingga Isnin lepas, Pavilion Malaysia menarik 619,337 pelawat, tiga kali lebih besar daripada sasaran awal sebanyak 200,000 pengunjung.

Pavilion Malaysia juga menerima 'Sebutan Khas' bagi kategori Interpretasi Tema Terbaik oleh Exhibitor Magazine, majalah berprestij di Amerika Syarikat, katanya dan menambah bahawa pencapaian ini membuktikan inspirasi untuk penyelesaian tenaga masa depan bukan sekadar datang daripada pasaran maju sahaja.

Bertemakan Tenaga Masa Depan, Ekspo Astana 2017 yang bermula pada 10 Jun akan berakhir pada 10 Sept.

Pameran khusus antarabangsa itu bermatlamat memberi inspirasi kepada perbahasan global antara negara, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat dan orang ramai mengenai impak penting mengenai pengurusan tenaga ke atas kehidupan manusia dan bumi. - BERNAMA