Malaysia berada pada kedudukan ke-18 dari 189 buah negara di dunia dari segi kemudahan menjalankan perniagaan bagi tahun 2015.

Menurut Laporan Bank Dunia, bagi negara pasaran membangun Malaysia berada di kedudukan pertama berdasarkan persekitaran perniagaan negara yang terus mengukuh menerusi pengurangan prosedur perolehan permit dan tempoh yang diambil untuk membayar cukai.

"Penambahbaikan dalam kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia, seperti membentuk semula keperluan pendaftaran perniagaan turut memberi manfaat kepada peniaga tempatan.

"Kini, peniaga berdepan dengan halangan pematuhan yang lebih sedikit dan pada masa sama mempunyai lebih banyak sumber bagi melaksanakan operasi perniagaan," kata Pengurus Bank Dunia bagi Malaysia, Faris Hadad Zervos dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam laporan tahunan itu, Singapura memperoleh tempat pertama untuk 10 tahun berturut-turut bagi kemudahan menjalankan perniagaan.

Negara lain dalam kedudukan 20 tertinggi adalah New Zealand (tempat ke-2), Korea Republik (4), Hong Kong SAR, China (5), Taiwan, China (11) and Australia (13).

Laporan yang bertajuk 'Menjalankan Perniagaan 2016: Mengukur Kualiti dan Kecekapan' turut mendapati negara-negara di rantau Asia Timur dan Pasifik mempunyai jumlah wakil tertinggi selepas Eropah pada senarai kedudukan 20 negara ekonomi tertinggi.

Tambahnya lagi, kebanyakan negara ekonomi di Asia Timur dan Pasifik kini sedang melaksanakan pembaharuan untuk meningkatkan persekitaran kawal selia bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Bagaimanapun, dalam usaha ke arah amalan kawal selia terbaik, cabaran kekal terutamanya dari segi Penyelesaian Insolvensi, Penguatkuasaan Kontrak dan Pendaftaran Hartanah.