Malaysia komited ke arah usaha mengukuhkan hubungan perdagangan dua halanya dengan Amerika Syarikat (AS) sejajar perubahan dalam pentadbiran Presiden Donald Trump.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pendekatan baharu akan ditinjau termasuk pilihan untuk mengaktifkan semula Perjanjian Kemudahan Perdagangan dan Pelaburan dalam usaha mengukuhkan hubungan kedua-dua negara itu.

AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia selain menjadi pelabur terbesar bagi sektor elektrikal dan elektronik negara ini.

"Kita berharap dapat mengemukakan satu cadangan yang konkrit pada suku keempat kelak mengenai usaha untuk melonjakkan semula hubungan dagangan yang berterusan antara Malaysia dan AS.

"Benar, dalam tempoh lima enam bulan ni hubungan kita agak renggang dan perlu diperbetulkan agar kembali mesra seperti sebelum ini," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri bersama sektor swasta anjuran kementerian itu dan agensinya, di sini, Selasa.

Mustapa diminta mengulas satu laporan mengenai langkah AS dan Malaysia untuk menubuhkan kumpulan kerja bagi menangani perkara berkaitan isu perdagangan seperti buruh, harta intelek dan alam sekitar.

Memetik pegawai AS, usaha itu dikatakan menyusuli pertemuan antara pihak berkuasa Malaysia dan pegawai Wakil Perdagangan AS, baru-baru ini.

AS sedang dalam peringkat mengadakan perbincangan dengan rakan dagang utamanya di sekitar Asia, sekali gus memaparkan penekanan pentadbiran Trump untuk mengeratkan hubungan dengan negara-negara di rantau ini.

Presiden Trump sebelum ini mengumumkan tindakan AS menarik diri daripada Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) pada Januari lepas yang menjadi antara usaha pentadbiran baharu itu beralih daripada langkah-langkah liberalisasi perdagangan.

"Hubungan kita dengan AS amat penting. Apabila TPP tidak menjadi (kenyataan), kita kena cari kaedah baharu. Kita akan fikir bagaimana kita boleh bekerjasama semula untuk meningkatkan semula hubungan ekonomi Malaysia dan AS," kata Mustapa.

Sementara itu, lebih 2,000 jemputan termasuk yang mewakili kedutaan-kedutaan asing di Malaysia, dewan perniagaan dan kumpulan pengurusan sektor awam dan swasta hadir pada majlis tersebut.

Turut diraikan seramai 20 orang anak yatim Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Nasuha di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA