Tutup

Berita  | Bisnes

Malaysia lulus pelaburan RM61.6 bilion dari Jan hingga Ogos

Malaysia lulus pelaburan RM61.6 bilion dari Jan hingga Ogos
Ong berkata pelaburan yang diluluskan itu melibatkan 411 projek dengan mempunyai potensi untuk mewujudkan lebih 34,000 pekerjaan di seluruh negara. - Gambar fail
PETALING JAYA: Malaysia meluluskan pelaburan berjumlah RM61.6 bilion untuk tempoh Januari-Ogos tahun ini untuk pelaburan langsung asing dan domestik, meningkat 52.47 peratus daripada RM40.4 bilion dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming berkata daripada jumlah itu, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang RM43.8 bilion berbanding RM24.4 bilion, sebelum ini.
"Sektor pembuatan terus menguasai bahagian terbesar pelaburan yang diluluskan, berjumlah RM49.8 bilion, kira-kira 81 peratus daripada jumlah pelaburan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perbincangan mengenai 'Malaysia: Harapan Baharu, Permulaan Baharu' anjuran Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) di sini.
Ong berkata pelaburan yang diluluskan itu melibatkan 411 projek dengan mempunyai potensi untuk mewujudkan lebih 34,000 pekerjaan di seluruh negara, khususnya dalam sektor minyak dan gas, produk kimia serta elektrik dan elektronik.

"Ini menunjukkan keyakinan pelabur kepada negara yang tidak berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya.

Mengenai FDI Malaysia, Ong berkata negara pelabur utama adalah China (RM9.5 bilion), diikuti Indonesia (RM8.99 bilion), Netherlands (RM7.67 bilion), Amerika Syarikat (AS) (RM2.94 bilion), Jepun (RM1.96 bilion) dan Singapura (RM1.18 bilion).

"Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan mempunyai nilai tambah yang tinggi serta dapat menyediakan peluang yang mencukupi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mewujudkan pekerjaan dengan kualiti yang baik dan gaji yang tinggi.

"Kita juga perlu menumpukan kepada menarik pelaburan baharu yang boleh menjadi sebahagian daripada rangka kerja Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan menaik taraf PKS secara berperingkat, berikutan tidak ramai daripada mereka yang dapat mencapai standard industri sebenar IR 4.0 dalam jangka masa pendek," kata Ong.

Beliau turut optimis kerajaan akan dapat melaksanakan dasar baharu selepas pembentangan Bajet 2019 termasuk meningkatkan ketelusan dan menjadikan Malaysia sebagai negara mesra perniagaan.

Mengenai ketegangan perdagangan AS-China yang berterusan, beliau berkata Malaysia merupakan destinasi pelaburan yang menarik kepada syarikat dari China berikutan tarif perdagangan yang dikenakan oleh AS, bagaimanapun ia adalah terpilih kerana negara memerlukan pelaburan dengan kualiti yang baik.

-- BERNAMA