Malaysia perlu memperkukuh pengaruhnya dalam dunia perniagaan bagi melonjakkan kedudukannya di peringkat global.

Calon Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, ini mengambil kira kelebihan Malaysia yang memiliki hasil dagangan ke-18 terbesar dunia.

Malah, kelebihan dalam aspek geografi dan demografi serantau juga boleh dimanfaatkan sepenuhnya, bagi mencapai hasrat berkenaan.

“Kita berada di kedudukan geostrategik begitu baik, paling dekat dengan dua pasaran terbesar dunia iaitu China dan India. Kita ada masyarakat pelbagai kaum yang menjadi jambatan bagi tembusi pasaran ini,” katanya ketika ditemu bual Timbalan Ketua Pengarang Astro Awani, Kamarul Bahrin Haron, dalam program '100 Hari Malaysia Baharu' pada Rabu.

Malaysia dengan majoriti penduduk beragama Islam juga boleh memanfaatkan kelebihan itu, bagi menguasai pasaran dunia Islam.

Pada masa sama, meningkatkan kemahiran rakyat terhadap penggunaan teknologi canggih dan terbaharu, termasuklah kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) dan internet untuk segalanya (Internet of Things).

Ia bagi membolehkan produk berinovasi tinggi dihasilkan, terutamanya produk-produk digital yang belum dihasilkan negara Barat dan Eropah.

Malaysia katanya berbeza dengan negara-negara Teluk dan Timur Tengah seperti Turki, yang memiliki pengaruh kuat dalam aspek ketenteraan dan politik.