Syarikat Perancis perlu mempertimbangkan Malaysia sebagai pintu masuk terbaik ke pasaran ASEAN dan Asia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata berdasarkan kedudukan sejarah dalam perdagangan Asia semasa Kesultanan Melaka, Malaysia mempunyai hubungan langsung dengan China, India dan Timur Tengah.

"Malaysia mempunyai infrastruktur dan kemudahan yang baik di seluruh negara selain dasar mesra perniagaan kami yang sentiasa dikemas kini untuk memastikan syarikat dapat memberi tumpuan kepada pembangunan aktiviti mereka.

"Dengan lebih 30 juta pengguna kelas pertengahan, pasaran tempatan mempunyai banyak peluang bagi produk berkualiti dan Perancis terkenal untuk itu," katanya dalam ucapan pada Majlis Malam Gala Tahunan CCIFM Ke-26 di sini Jumaat malam.

Zahid berkata pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri dengan organisasi seperti Invest KL, MIDA dan Matrade akan membantu syarikat antarabangsa dan memudahkan interaksi yang kukuh dengan rakan kongsi Malaysia.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri, kementerian saya bekerjasama rapat denganTalent Corp dan kami telah membuka dasar kami dengan menjemput pakar dan profesional untuk bekerja di Malaysia.

"Kami telah menetapkan masa bagi pekerja profesional dan berkemahiran untuk menerima kelulusan daripada Jabatan Imigresen dan Talent Corp dalam tempoh tujuh hari bekerja.

"Keusahawanan adalah amat digalakkan dan saya gembira apabila mengetahui kira-kira satu pertiga daripada perniagaan Perancis di sini sebenarnya dimulakan oleh usahawan Perancis," katanya.

Zahid berkata pada masa ini, purata jumlah perdagangan tahunan antara Perancis dan Malaysia sebanyak lima bilion euro.

Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar Perancis di ASEAN.

Kajian terkini menunjukkan terdapat 275 anak syarikat Perancis dengan kira-kira 26,000 pekerja di Malaysia pada masa ini dan mewakili jumlah pelaburan sebanyak RM16 bilion.

Sementara itu, Duta Perancis ke Malaysia, Monsieur Christophe Penot berkata kerajaan dan syarikat Perancis komited untuk menyokong Malaysia dalam projek industri yang besar, infrastruktur dan inovatif, dalam sektor awam dan swasta.

"Saya juga ingin menambah bahawa kami ingin menawarkan peluang sebenar kepada pelabur Malaysia yang mahu menjalankan perniagaan di Perancis, berikutan kami mempunyai banyak asas kukuh yang diketahui oleh pelabur asing," katanya.

Lebih penting, katanya baru-baru ini kerajaan Perancis telah mengambil langkah untuk meningkatkan daya saing ekonomi, melalui pengurangan kos buruh dan beban fiskal syarikat, peningkatan fleksibiliti buruh dan pemudahan prosedur pentadbiran.