KUALA LUMPUR:Malaysia merekodkan pelaburan berjumlah RM109.8 bilion bagi sektor pembuatan, perkhidmatan, dan sektor-sektor utama dalam sembilan bulan pertama tahun 2020.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), keseluruhan pelaburan tersebut melibatkan 2,935 projek selain turut membuka sebanyak 64,701 peluang pekerjaan di Malaysia.

Daripada jumlah itu, 61.2 peratus atau RM67.2 bilion daripadanya adalah pelaburan langsung asing (FDI) manakala selebihnya adalah pelaburan langsung domestik (DDI) yang berjumlah RM42.6 bilion.

Antara negara yang menjadi penyumbang tertinggi FDI terdiri adalah China dengan RM17.0 bilion, Singapura RM8.0 bilion, Amerika Syarikat RM2.8 bilion, serta Switzerland RM2.8 bilion.

Sepanjang tempoh itu juga, 740 projek berjumlah RM65.3 bilion telah diluluskan, peningkatan 16.6 peratus berbanding RM56.0 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memperkasakan perdagangan meskipun dunia berdepan pandemik COVID-19.

“Kami berusaha untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat dan kelangsungan perniagaan, bukan sahaja dalam tempoh pandemik ini, tetapi untuk bertahun-tahun ke hadapan,” katanya.

Tambah Azmin, Belanjawan 2021 juga menyaksikan penekanan diberikan untuk terus memacu pemulihan ekonomi.