Malindo Air, syarikat penerbangan hibrid Malaysia, akan menambah penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kuching, Langkawi, Pulau Pinang serta dari Subang ke Pulau Pinang.

Syarikat penerbangan itu berkata penerbangan tambahan berkenaan, iaitu antara 22 Nov dan 31 Dis, mampu menampung permintaan perkhidmatan sepanjang cuti hujung tahun dan cuti sekolah tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Chandran Rama Muthy berkata syarikat penerbangan itu telah mula menawarkan diskaun 50 peratus untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun di kesemua penerbangan Malindo Air.

Tempahan untuk diskaun istimewa kanak-kanak ini telah pun dibuka mulai sekarang sehingga 17 Nov, 2013 dan tempoh perjalanan ialah mulai sekarang sehingga 31 Jan, 2014.

"Tiket untuk percutian laris dijual. Tempat-tempat percutian seperti Langkawi dan Pulau Pinang ternyata amat popular.

"Kami menambah penerbangan ini bagi memenuhi permintaan dan pelanggan akan membeli tiket percutian keluarga mereka pada tambang rendah," kata beliau dalam satu kenyataan.

Malindo Air pada masa ini menawarkan 14 penerbangan mingguan dari KLIA ke Kuching; 14 penerbangan mingguan dari KLIA ke Langkawi; dan tujuh penerbangan mingguan dari Subang ke Langkawi; 14 penerbangan mingguan dari KLIA ke Pulau Pinang dan 28 penerbangan mingguan dari Subang ke Pulau Pinang.