Kerajaan perlu memahami keresahan masyarakat luar bandar yang kini mengalami tekanan akibat kejatuhan harga komoditi.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap menggesa rintihan mereka didengari sekali gus mengumumkan berita menarik menjelang pembentangan Bajet 2016 nanti.

"Kita harap lebih banyak bantuan diberikan kepada masyarakat luar bandar yang terjejas oleh kejatuhan harga komoditi dalam Bajet 2016.

"Bantuan perlu disasar kepada pekebun kecil getah dan kelapa sawit, terutama mereka yang berada dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah.

"Bantuan ini penting untuk membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar," katanya kepada Astro AWANI di sini, Khamis.

Anuar yang juga Ketua Biro Hal Ehwal Luar Bandar Pemuda UMNO menjelaskan, pengumuman insentif itu akan membantu golongan sasar mengekalkan mata pencarian dan merapatkan jurang pendapatan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

"Ini adalah Bajet pertama di bawah Rancangan Malaysia ke-11. Pastinya apa sahaja pengumuman kelak akan memberi harapan serta prospek untuk merapatkan jurang termasuk pendapatan masyarakat bandar dengan luar bandar.

"Apabila taraf hidup tinggi, ia pasti memberi dimensi baru kepada masyarakat luar bandar serta persepsi salah yang dibuat golongan tidak bertanggungjawab terhadap kerajaan selama ini dapat dihapuskan," katanya.

Harga minyak sawit mentah mencecah paras RM1,856.50 satu tan metrik baru-baru ini, berbanding 2014, yang dagangannya antara RM1,944 hingga RM2,921 setan metrik.

Malaysia kini menyumbang hampir 40 peratus kepada pengeluaran minyak sawit dunia, manakala eksport komoditi menambah lima peratus kepada keluaran dalam negara kasar.

Dalam sektor getah pula, penggunaan getah beku dalam pembinaan jalan raya di negara ini dijangka meningkatkan penggunaan getah dalam negara sebanyak 10 peratus setiap tahun.

Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Getah Malaysia kini bekerjasama dengan agensi berkenaan untuk mengkaji penggunaan getah ini dan telah meningkatkan usaha untuk menggalakkannya sebagai bahan tambahan dalam asfalt.

Dalam pada itu kata Anuar, beberapa masalah yang bakal dihadapi kepada pekebun kecil boleh mengakibatkan penurunan hasil pendapatan mereka.

"Fenomena El Nino misalnya, ia akan menambah kepada masalah pekebun kecil berikutan terdapat andaian bahawa mereka akan terjejas lebih teruk dengan suhu lebih tinggi dan cuaca lebih kering, menjadikan tanaman lebih mudah terjejas.

"Selain itu, bagi negeri-negeri pengeluar beras seperti Kedah pula mungkin mengalami hasil lebih rendah yang boleh menjadikan kita lebih bergantung kepada beras import yang boleh menyebabkan kos lebih tinggi kerana permintaan meningkat dan hasil yang rendah," katanya.

Anuar turut melihat bantuan kerajaan selama ini seperti bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) banyak memberi kelegaan kepada golongan sasar.

"Saya lihat ia dibantu beberapa insentif lain seperti semakan semula tambahan gaji minimum, pengurangan pilihan dalam caruman pekerja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan yang pemotongan cukai pendapatan peribadi untuk meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah turut menyumbang kepada kejayaan usaha Kerajaan.

"Usaha kerajaan untuk skim usahawan dan langkah-langkah lain untuk menampung kos sara hidup yang meningkat akan menjadi sangat tepat pada masanya.

"Ia termasuk usaha kerajaan dalam meningkatkan jumlah kedai harga patut seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia dan juga kedai-kedai makan yang menawarkan Menu 1Malaysia," katanya.