Berita  |  Bisnes

Matawang ringgit jatuh paras terendah untuk tempoh lima tahun

Matawang ringgit jatuh paras terendah untuk tempoh lima tahun
Setakat 5 petang Selasa, unit tempatan diniagakan 3.5555 berbanding dolar daripada 3.5320 pada Isnin.
KUALA LUMPUR: Nilai matawang ringgit meneruskan momentum penurunan terbesar berbanding dolar Amerika Syarikat di kalangan matawang di rantau Asia dipengaruhi kejatuhan harga minyak mentah global serta pengukuhan nilai dolar AS.

Sehingga jam 12.30 tengahari Rabu, ringgit mencatatkan kejatuhan 0.2 peratus kepada 3.5647 selepas merundum sehingga 0.8 peratus kepada 3.5862, menjadikannya paras terendah untuk tempoh 5 tahun.

Setakat 5 petang Selasa, unit tempatan diniagakan 3.5555 berbanding dolar daripada 3.5320 pada Isnin.
"Di kalangan pengeksport komoditi Asia, Malaysia dilihat paling terjejas dengan kejatuhan berterusan harga minyak dan komoditi," kata peniaga.

Katanya lagi,  ringgit akan terus menerima tekanan memandangkan pelabur bimbang akan kesan terhadap ekonomi negara.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding euro kepada 4.2467 daripada 4.2225 pada Isnin dan rendah berbanding pound kepada 5.4193  daripada 5.4050.

Unit tempatan itu jatuh berbanding dolar Singapura kepada 2.6678 daripada 2.6479 pada Isnin dan merosot berbanding yen kepada 2.9903 daripada 2.9343 , sebelum ini.