Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) memberi pendekatan yang lebih berfokus kepada syarikat yang bersedia mengeksport menerusi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) 2016.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik Matrade, Wan Latiff Wan Musa, ini mendorong kepada pengurangan jumlah syarikat peserta dari Malaysia tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Katanya, sebelum ini kebanyakkan syarikat menyertai program tersebut untuk mempelajari cara mengeksport.

"Tahun ini adalah kali ke-13 kita menjalankan program ini. Ini bermaksud kita memberikan pendekatan yang lebih berfokus di mana syarikat-syarikat yang mempunyai kemampuan untuk mengeksport menyertai program ini.

"Di peringkat awal, banyak syarikat menyertai program ini untuk mempelajari bagaimana untuk mengeksport produk halal," kata Wan Latiff.

Pada 2010, 1,005 syarikat tempatan mengambil bahagian dalam Misi Pembelian Antarabangsa (IBM) yang kini dikenali sebagai INSP.

Tahun ini, INSP mencatatkan penyusutan jumlah peserta dari Malaysia hampir 50 peratus ke 518 syarikat pengeksport.

Dalam pada itu, Wan Latiff berkata INSP 2016 dijangka mencatatkan peningkatan 10 peratus dalam jualan ke kira-kira RM500 juta.

Menurut beliau, ini berbanding dengan RM443.2 juta yang dicatat tahun lepas.

"Peningkatan yang disasar tahun ini ialah atas minat yang semakin meningkat daripada syarikat-syarikat luar.

"Tahun lepas hanya 307 syarikat luar menyertai. Tahun ini kita mendapat penyertaan daripada 390 syarikat.

"Setiap tahun kita menerima sambutan yang semakin baik kerana Malaysia terkenal sebagai pelopor dalam industri halal," kata Wan Latiff.

INSP merupakan salah satu program yang dianjurkan sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2016.

Jualan MIHAS 2016 yang akan bermula pada Rabu dijangka meningkat 5 peratus daripada RM1.1 bilion yang dicatatkan tahun lepas.