Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sedang mengkaji semula caj perkhidmatan penumpang (PSC) lapangan terbang dan akan mengumumkan keputusannya pada akhir tahun ini.

"Kami sedang mengkaji perkara itu dan akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai," kata Ketua Pegawai Operasi, Azmir Zain, pada taklimat media mengenai Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 di sini hari ini.

Syarikat penerbangan mengutip PSC dan membayar kepada Malaysia Airport Holdings Bhd.

Ia ditetapkan, masing-masing pada RM32 dan RM6 bagi penumpang penerbangan antarabangsa dan domestik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), manakala bagi penumbang penerbangan antarabangsa dan domestik dari terminal utama KLIA, PSC ditetapkan pada RM65 dan RM9.

Mengenai perkembangan lain, Mavcom berkata susulan penguatkuasaan kod perlindungan pengguna penerbangan pada 1 Julai 2016, ia telah menerima lebih 100 aduan dengan kebanyakannya berkaitan bayaran balik, pembatalan penerbangan dan kehilangan bagasi.

Pengarah Hal Ehwal Pengguna, Puspalatha Subramaniam, berkata kira-kira 95 peratus daripada aduan itu dibuat selepas pengguna tidak berpuas hati dengan resolusi yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan.

Beliau berkata setakat ini, Mavcom telah menyelesaikan 95 peratus daripada aduan tersebut.

Di bawah kod yang baru diwartakan itu, syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang diberi tempoh 30 hari untuk menyelesaikan aduan pengguna, selain memberi pampasan, penjagaan bagi kelewatan penerbangan selama dua jam atau lebih, pembatalan penerbangan dan kehilangan atau kerosakan bagasi.

"Mavcom mempunyai tempoh tujuh hari untuk mengkaji aduan. Jika ia melibatkan syarikat penerbangan dan lapangan terbang, kami akan menyerahkannya kepada mereka dan mereka mempunyai masa 30 hari untuk menyelesaikan isu tersebut," katanya.

Puspalatha berkata syarikat penerbangan dan lapangan terbang akan dikenakan denda jika mereka tidak dapat menyelesaikan aduan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan atau didapati melanggar peraturan di bawah kod tersebut.

Mavcom ditubuhkan pada 1 Mac, 2016 untuk mengawal selia perkara ekonomi dan komersial yang berkaitan dengan penerbangan awam.