Maxis Bhd, Axiata Group Bhd dan Digi.Com Bhd menerima tawaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penguntukan semula jalur spektrum masing-masing, berkuat kuasa 2 April, 2018.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Maxis berkata, anak syarikatnya telah menerima tawaran SKMM bagi penguntukan semula 2100 megahertz (MHz) Penggunaan Spektrum (SA).

Tawaran tersebut terdiri daripada 2 x 15MHz Frequency Division Duplex dan 1 x 5MHz Time Division Duplex SA, dengan tempoh sah selama 16 tahun, katanya.

Anak syarikat milik penuh Axiata Group Bhd, Celcom Axiata Bhd, telah menerima tawaran SKMM mengenai penguntukan semula SA sedia ada 1950MHz hingga 1965MHz dan 2140 MHz hingga 2155MHz selama 16 tahun, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Digi, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, berkata anak syarikat milik penuhnya, Digi Telecommunications Sdn Bhd telah menerima tawaran SKMM berhubung penguntukan semula 2100MHz SA bagi jalur 2x15MHz, untuk tempoh 16 tahun.

Ketiga-tiga syarikat telekomunikasi itu membayar komponen harga, masing-masing sebanyak RM118.4 juta dan akan membayar yuran tahunan RM50 juta, yang perlu dibayar sebelum 15 Dis sepanjang tempoh penggunaan.

-- BERNAMA