Maxis Bhd berhasrat mempunyai 10,000 pelajar yang mengakses portal "eKelas" pada akhir tahun dan 100,000 menjelang 2022.

Penyedia perkhidmatan komunikasi dan Internet itu berkata, sejak dilancarkan tahun lepas, eKelas kini mempunyai lebih 4,000 pelajar dari segi populasi kelas dan juga yang berinteraksi dalam portal itu.

Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, syarikat itu mempunyai 118 Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di bawah jagaannya di seluruh negara dan sehingga kini, 45 PI1M di 10 negeri menyertai program eKelas.

"Semua kakitangan Maxis kami terlibat secara aktif dan berbincang dengan pelajar mengenai portal ini, dan membantu mendaftar mereka, jadi kami yakin dapat memperoleh 10,000 pelajar menjelang akhir tahun dan seterusnya 100,000 pelajar juga dapat dicapai," katanya semasa sidang akhbar selepas menganugerahkan 'Anugerah Gemilang eKelas' kepada 11 pelajar yang telah menunjukkan kemajuan besar dalam pelajaran mereka di satu majlis di sini hari ini.

Anugerah yang dilancarkan pada November tahun lepas, terbuka kepada semua pelajar yang telah menyertai program eKelas yang di bawah di PI1M.

PI1M, yang dimiliki Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), adalah sebuah pusat Internet yang terletak di kawasan yang kurang mendapat perhatian untuk menyediakan akses kepada komuniti sekitar.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi SKMM Tan Sri Dr Halim Shafie.

Halim memuji usaha Maxis dalam membawa program pembelajaran digital kepada PI1M.

"Ia selaras dengan aspirasi SKMM untuk menjadikan pusat itu hub pembelajaran untuk masyarakat setempat," katanya.

Program jangkauan masyarakat, eKelas, memberi tumpuan kepada tiga subjek kritikal, iaitu sains, matematik dan bahasa Inggeris untuk pelajar tingkatan satu, dua dan tiga.

-- BERNAMA