Maxis Bhd bercadang untuk mengumpul sehingga RM1.64 bilion menerusi rancangan menerbitkan 300 juta saham baru di bawah cadangan tawaran persendirian kepada pelabur dengan harga terbitan indikatif bagi tawaran saham pada RM5.47 sesaham.

Menurut penyedia perkhidmatan komunikasi itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, jumlah itu mewakili kira-kira empat peratus daripada jumlah saham terbitan Maxis setakat 16 Jun 2017, pada hari urus niaga terakhir sebelum tarikh pengumuman sahamnya berjumlah 7,510,510,600 saham.

"Hasil berkenaan akan digunakan untuk membayar balik pinjaman dan kos sampingan yang berkaitan dalam tempoh 12 bulan. Syarikat itu mencadangkan pelaksanaan pengumpulan dana ekuiti bagi mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat dan anak-anak syarikatnya menerusi pengurangan pinjaman Maxis Group yang sedia ada.

"Manfaat yang diperoleh termasuklah mempertingkatkan aliran tunai, kecairan, penjimatan kos faedah dan tahap penggearan yang lebih baik," katanya

Menurut Maxis, ia juga akan mewujudkan fleksibiliti kewangan bagi kumpulan tersebut membiayai pembayaran tugasan spektrum masa hadapannya, rancangan pengembangan dan strategi pengembangannya jika kumpulan itu mendapat peluang.

"Kesan cadangan tawaran persendirian bagi modal saham terbitan Maxis, gabungan aset bersih setiap saham Maxis, pendapatan setiap saham, pemegangan saham bagi pemegang utama saham dan penggearan hanya akan ditentukan selepas penelitian akhir harga terbitan bagi saham penempatan itu dan selepas proses tawaran harga selesai," katanya.

Syarikat itu akan mengumumkan angka akhir dan dan harga terbitan tawaran sahamnya, bersama-sama dengan kesan cadangan itu selepas proses tawaran harga selesai, yang akan dilakukan hari ini.

Sekiranya tiada halangan, pihak lembaga menjangka cadangan tersebut akan siap selewat-lewatnya penghujung Julai 2017, katanya.

Pada 2.24 petang, saham Maxis Bhd digantung pada RM5.88. - BERNAMA