Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd melonjak 14 peratus kepada RM6.55 bilion untuk tahun kalendar 2013 berbanding RM5.745 bilion pada 2012.

Keuntungan bersih suku keempat meningkat RM1.73 bilion daripada RM1.45 bilion.

Keputusan yang cemerlang oleh bank terbesar negara itu disebabkan oleh beberapa faktor.

Ini termasuk pendapatan lebih tinggi daripada perbankan antarabangsa, terutama PT Bank Internasional Indonesia, pertumbuhan lebih tinggi pinjaman, kos pengurusan lebih baik serta operasi perbankan Islam yang mantap, kata kumpulan perbankan itu dalam satu kenyataan di sini Khamis dan makluman kepada Bursa Malaysia.

Maybank juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi sebanyak RM8.869 bilion untuk tahun berakhir 2013 berbanding RM7.896 bilion pada 2012, manakala hasil melonjak kepada RM33.250 bilion berbanding RM31.227 bilion sebelum ini.

Untuk suku keempat, untung sebelum cukai naik kepada RM2.3 bilion berbanding RM1.94 bilion pada suku yang sama pada 2012, manakala pendapatan melonjak kepada RM8.269 bilion daripada RM7.802 bilion.