Skim khas Pakej Pembiayaan Perumahan Selangor membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic dan Ketua Perbankan Islam Kumpulan Maybank, Datuk Muzaffar Hisham berkata, pemohon yang layak bagi pakej itu akan dikenal pasti pihak kerajaan Selangor melalui beberapa projek rumah SelangorKu.

"Pakej Pembiayaan Perumahan SelangorKu ini disasarkan kepada golongan yang ingin membeli rumah mampu milik.

"Antara ciri-ciri khas skim ini adalah pembiayaan yang ditawarkan dalam kemampuan pelanggan manakala kelayakan kredit dinilai dalam garis panduan Bank Negara," katanya semasa sidang media selepas Majlis Menandatangani Skim Khas Pembiayaan Perumahan antara Kerajaan Selangor bersama Maybank Islamic Berhad.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Noordin Sulaiman.

Skim yang mula diguna pakai pada Januari tahun lepas itu merupakan penjenamaan semula rumah kos sederhana, sederhana rendah dan rendah selain rumah mampu milik yang ditukar kepada Rumah Selangorku jenis A, B, C dan D dengan harga jualan bermula dari RM42,000 sehingga RM250,000 seunit.

Projek pertama skim berkenaan yang dilancarkan adalah projek PKNS Selayang Mutiara.

Projek-projek SelangorKu yang lain termasuk Rumah Kos Rendah (RKR) Sungai Sering, RKR Sungai Sering, RKR Barembang, RKR Lembah Subang II dan RKR Rimba Jaya.

Kata Muzaffar, Maybank Islamic merupakan bank Islam komersial pertama yang bekerjasama dengan Kerajaan Selangor sebagai pembiaya segmen perumahan dalam pasaran.

"Kami sangat berbesar hati. Ini selaras misi kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan.

"Senarai pemohon pakej ini akan ditapis oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan pihak berkuasa negeri yang menguruskan projek SelangorKu sebelum nama-nama mereka dikemukakan kepada kami untuk kelulusan pembiayaan," jelasnya.

Dalam pada itu Azmin memberitahu, pihaknya hanya membantu memudahkan proses pembeli di dalam kategori kurang mampu sahaja melalui Maybank.

"Bakal-bakal pembeli rumah SelangorKu yang mempunyai kemampuan perlu melalui proses pembiayaan seperti biasa yang ditetapkan institusi perbankan.

"Berdasarkan sambutan yang diterima di setiap program yang diadakan, permintaan rakyat Selangor terhadap pakej ini amat menggalakkan," katanya.

Ujarnya, pihaknya juga mensasarkan sejumlah 15,000 unit rumah SelangorKu dalam tempoh tiga tahun sehingga 2018.