Tiga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi di negeri ini bakal mempunyai pentadbiran baharu yang bakal diumumkan dalam masa terdekat ini,kata Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, ketiga-tiga GLC itu melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc).

Ahmad Faizal berkata, buat masa ini pihaknya masih menjalankan siasatan audit forensik terhadap kesemua urus tadbir di dalam ketiga-tiga GLC yang diuruskan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

“Saya telah ambil tindakan dengan membekukan akaun mereka buat sementara,dan juga telah bertindak dengan melakukan forensik audit dan juga (melihat) perundingan-perundingan mereka sebelum ini.

“Kita perlu melihat dari segi perjanjian yang telah dibuat dan sebagainya.

“Hasil daripada perkara itu, saya percaya dalam masa terdekat kita akan membuat beberapa pengumuman dan saya mendapati beberapa GLC akan juga mendapat pentadbir-pentadbir yang baharu,”katanya kepada pemberita selepas selesai Majlis Berbuka Puasa bersama masyarakat di Masjid Tapah, dekat sini hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal menafikan bahawa pendekatan tersebut adalah bersifat sebagai ambil alih secara melulu semata-mata sebaliknya merupakan “bedah siasat” secara teliti.

Katanya lagi, kesemua yang dilakukan itu adalah agar pihak kerajaan negeri akan mengetahui keadaan sebenar mengenai GLC agar memudahkan proses perencanaan dan perancangan untuk memandu arah syarikat selepas ini.

Tegasnya, beliau telah melaksanakan pendekatan itu sebaik sahaja memegang jawatan sebagai Menteri Besar Perak malah ianya senada dengan kehendak Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Astro Awani melaporkan mengenai gesaan Anwar (Ibrahim) untuk melihat kerajaan negeri Perak melaksanakan audit telus ke atas mana-mana GLC atau institusi penyelidikan yang mempunyai keperluan tersebut.