Mekanisme bagi membantu pekebun kecil lada yang menghadapi masalah berikutan harga komoditi itu yang jatuh merudum, akan diketahui dalam tempoh sebulan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata mekanisme bantuan tersebut akan ditentukan oleh Lembaga Lada Malaysia yang dipengerusikan Larry Sng Wei Shien, merangkap Anggota Parlimen Julau.

"Saya serahkan perkara ini kepada Lembaga Lada Malaysia bagi menentukan bantuan yang bakal diberikan kepada pekebun-pekebun kecil yang terbabit," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Rengayan Anak Ngumbang di Nanga Ruyak di sini hari ini.

Beliau ditanya pemberita sama ada terdapat mekanisme bantuan sebagaimana yang disalurkan kepada pekebun kecil getah.

"Lada yang dihasilkan oleh pekebun kecil di Sarawak, khasnya di Julau, adalah yang paling berkualiti di dunia," katanya, sambil menambah, harga komoditi itu menghadapi kejatuhan berikutan persaingan hebat daripada Vietnam, Indonesia dan India.

Sehubungan itu, beliau mahu pekebun kecil lada sentiasa memastikan kualiti keluaran masing-masing berada di tahap yang tinggi.

Katanya pengimport terbesar lada dari Malaysia pada masa ini ialah Australia dan Jepun.

Untuk rekod, harga lada mulai turun sejak dua tahun lalu daripada sekitar RM450 per 100kg bagi lada hitam kepada hanya sekitar RM70 per 100kg.

Namun harga yang diambil peruncit di sesetengah tempat jauh lebih rendah iaitu antara RM40 hingga RM50 per 100kg.

Ini menimbulkan rungutan di kalangan pekebun kecil yang mahu kerajaan berbuat sesuatu supaya nasib mereka dibela dan harga lada dapat diperbaiki.

Ini merupakan lawatan pertama Dr Wan Azizah ke Sarawak sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri.

-- BERNAMA