Cadangan pengambilan pembantu rumah asing tanpa melalui ejen seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 mampu mengurangkan sehingga 50 peratus kos pengambilan seorang amah, ujar Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA).

Ia berikutan katanya, ketika ini, majikan terpaksa membayar sehingga RM18,000 sebelum dapat menggaji seorang pembantu rumah yang dibuat melalui ejen.

"Sekarang ini kira-kira RM18,000 terpaksa dibayar majikan di Malaysia untuk menggaji seorang pembantu rumah asing jika melalui ejen. Kos ini tidak pernah turun, ia sentiasa naik kerana mereka ini (ejen) menjalankan perniagaan," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

KLIK UNTUK PERKEMBANGAN LANJUT BAJET 2018

Kos pengambilan amah melalui ejen berkenaan termasuk pembayaran levi, visa, perubatan, dan sebagainya.

"Kalau tanpa ejen, kita sendiri akan pergi cari dan mengikut pilihan kita. Kita kena tampung tambang penerbangan dan kos terlibat untuk mendapatkan mereka. Namun, kos untuk bayaran kepada kerajaan adalah tetap RM4,000 (untuk proses imigresen)," jelasnya lagi.

Menurut Engku Fauzi, tidak timbul risiko pembantu rumah lari dari majikan jika pengambilan pekerja itu dibuat tanpa melalui ejen.


Ia berikutan pihak ejen sedia ada disifatkan tidak akan menggantikan amah berkenaan walaupun syarat penggantian ada dalam perjanjian antara kedua-dua pihak.

"Ejen sepatutnya kalau ikut betul-betul jujur sepatutnya ada perjanjian, kalau amah lari dalam masa 3 bulan, 6 bulan dia (ejen) kena ganti wang ringgit atau yang baru ke, tetapi ejen kat sini dia pandailah pusing ayat, kebanyakannya majikan akan jadi mangsa.

"Jadi, kalau ambil sendiri amah tanpa melalui ejen, dan kalau amah itu lari, maka majikan tidak akan rugi banyak sangat sebab kos pengambilan tu tidak banyak," tambah beliau.


Justeru, MAMA berharap kerajaan komited dalam melaksanakan polisi baharu berkenaan dan tidak akan berbalik semula kepada langkah pengambilan amah melalui ejen.

Pada masa sama, persatuan itu mahu kerajaan bekerjasama dengan negara-negara sumber agar tidak menghalang majikan mengambil pembantu rumah tanpa orang tengah berkenaan.