Menghapuskan semua wang kertas bernilai besar boleh menjadi satu daripada pendekatan ke arah mewujudkan masyarakat tanpa jenayah serta tanpa rasuah, kata Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau juga mencadangkan transaksi yang besar perlu dilakukan secara elektronik di samping menyediakan jejak audit.

"Mengurangkan risiko jenayah dan rasuah mungkin boleh dilakukan kerana dunia sudah bergerak ke arah masyarakat tanpa tunai, teknologi telah maju sehingga pembayaran mudah alih dibolehkan dan kos terminal tempat jualan adalah berpatutan bagi penempatan besar-besaran.

"Selain itu, wang kertas denominasi rendah masih wujud untuk memudahkan transaksi kecil," kata Abdul Wahid dalam ceramahnya bertajuk 'Integriti Dalam Tindakan' di Ceramah Ulang Tahun Ke-50 Institut Akauntan Malaysia di sini, Isnin.

Dalam ceramah itu, beliau berkata, prasyarat untuk menjadi pemimpin yang baik dan mampan ialah mempunyai integriti yang tidak boleh dipersoal, kecekapan yang betul serta rendah diri.

"Integriti ialah mengenai melakukan sesuatu yang betul walaupun tidak ada sesiapa yang melihat. Ia adalah elemen paling penting untuk menjadi seorang pemimpin yang mampan," kata Abdul Wahid.

Sementara itu, mengenai prospek pendapatan korporat di Malaysia, Abdul Wahid berkata, mereka dijangka mencatat prestasi lebih baik daripada tahun lepas kerana ekonomi dijangka tumbuh lebih cepat dengan jangkaan kenaikan harga komoditi.

"Penganalis dalaman kita menjangka pendapatan korporat meningkat lima hingga tujuh peratus tahun ini di mana ia adalah baik untuk pasaran saham tempatan.

"Kita berharap entiti korporat akan memberi tumpuan ke atas asas ekonomi mereka, meningkatkan pendapatan serta mengekalkan nisbah bayaran dividen yang tinggi agar pasaran terus berkembang," tambahnya.

-- BERNAMA