Rakyat Malaysia yang berada di luar negara perlu sentiasa mengambil berat tentang apa yang berlaku di Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun mereka yang bermastautin dilihat hidup lebih senang di luar negara, namun jangan dilupa asal-usul mereka.

Jelas beliau, para usahawan yang menjalankan perniagaan di luar negara perlu kembali melabur di Malaysia selain membawa masuk pelaburan baharu.

“Saya berharap anda dapat membantu untuk melabur semula ke Malaysia, atau menambah baik perdagangan antara Malaysia dan Thailand.

“Ini adalah mesej saya kepada semua rakyat Malaysia yang menetap di luar negara. Walaupun mereka menetap di luar negara, dan mungkin dalam keadaan yang lebih baik, tapi mereka tidak harus lupa yang mereka adalah rakyat Malaysia.

“Mereka (usahawan) pertama kali menjadi jutawan di Malaysia dan seharusnya mereka harus fikir tentang perkembangan negara,” kata beliau dalam pertemuan bersama Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand, di sini hari ini.

Ia merupakan sebahagian daripada rangka lawatan dua hari beliau ke Thailand yang bakal berakhir hari ini.

Mengulas berkenaan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, beliau akui ia memberi impak negatif kepada pasaran negara.

“Pada masa sama, situasi ekonomi dunia pada ketika ini tidak begitu baik. Kita yang merupakan negara perdagangan, memerlukan pasaran.

“Jika pasaran tidak menentu, kita akan rugi. Perang perdagangan antara China dan AS merupakan sesuatu yang tidak baik bagi kita.

“Namun, kita perlu menerima perkara ini dan mencari penyelesaiannya,” tambahnya.