Proton Holdings Bhd telah meletakkan Mesir dalam aktiviti eksportnya bagi 2018 semasa majlis pelepasan di kilang pembuat kereta itu di Tanjung Malim hari ini.

Pada 22 Sept ini, sebanyak 225 kereta Proton akan berlepas dari Northport, Klang dan dijangka tiba di pelabuhan Iskandariah, Kaherah pada 6 Okt depan.

Kereta-kereta itu akan diterima oleh pengedar Proton Mesir, Alpha Ezz El-Arab, untuk diagihkan kepada tujuh cawangan dan peniaga yang melayani pasaran negara itu," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis perlepasan di Tanjung Malim menandakan penghantaran pertama kereta Proton ke Mesir dalam tempoh hampir tiga tahun, penghantaran sebelum ini merangkumi 320 unit Proton Gen 2 dan Persona telah dibuat pada Disember 2015 sebelum terjejas akibat penurunan nilai mata wang di mana ianya agak mustahil membawa stok baharu kerana tidak kompetitif.

"Usaha oleh pengedar dan eksport alat ganti yang berterusan, bagaimanapun, telah menjamin keperluan pemilik sentiasa dipenuhi semasa menunggu perubahan dalam iklim ekonomi.

"Dengan keadaan pasaran yang semakin baik, Proton sekarang ini mampu untuk mengembangkan aktiviti eksport serta mengambil kesempatan ke atas pasaran automotif yang terus mencatatkan pertumbuhan ketara dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.

Kehadiran Proton akan diperkukuhkan melalui tiga model baharu yang muncul buat pertama kali dalam pasaran Mesir, ini ditambah lagi dengan peningkatan kualiti produk berikutan pengenalan proses audit produk yang digunakan oleh Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Radzaif Mohamed berkata, bagi menjamin stok yang mencukupi, pengedar telah menempah 280 unit tambahan untuk dihantar pada bulan depan dengan sasaran 1,000 kereta bagi keseluruhan 2018.

Selain daripada menyambung jualan kereta baharu di Mesir, Alpha Ezz El-Arab juga akan memperkenalkan Identiti Korporat Proton yang baharu (CI) di tiga cawangannya dan ini merupakan langkah yang penting kerana ia akan menjadi kumpulan pertama yang membawa imej bilik pameran CI Proton terbaharu di luar Malaysia.

"Langkah untuk menggunakan CI baharu kami menunjukkan pengedar kami bergerak sejajar dengan hasrat kami bagi membina imej dan pengalaman jenama yang konsisten untuk Proton di peringkat antarabangsa. Ia juga akan membantu dalam matlamat untuk menambah angka kepada lebih 13,000 kereta Proton yang telah terjual di Mesir sejak dari 2004," katanya.

Proton Holdings Bhd dimiliki 50.1 peratus oleh Kumpulan DRB-HICOM Bhd dan 49.9 peratus oleh Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd.

--BERNAMA