Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) telah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meneruskan perbincangan berhubung cadangan penggabungan dengan Al Rajhi Banking Investment Corporation (Malaysia) Bhd.

MIDF berkata BNM telah mengeluarkan surat menyatakan tiada bantahan daripada pihaknya bagi MIDF dan pemegang saham tunggalnya, Permodalan Nasional Bhd (PNB), untuk memulakan rundingan dengan Al Rajhi Banking Investment Corporation, Kerajaan Arab Saudi (Al Rajhi KSA) berhubung penggabungan itu.

"Rundingan perlu selesai dalam tempoh tiga bulan dari tarikh surat dikeluarkan BNM.

"Kami berharap dapat mengadakan rundingan yang membuahkan hasil dengan Al Rajhi KSA dan mencapai keputusan yang memanfaatkan kedua-dua pihak," kata Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Datuk Charon Mokhzani dalam kenyataan hari ini.

MIDF berkata kelulusan yang diterima tidak harus ditafsir sebagai menggambarkan perjanjian penggabungan muktamad akan dicapai atau BNM telah meluluskan penggabungan itu.

"MIDF akan terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada BNM atau Menteri Kewangan, berserta syor daripada bank pusat itu, kerana kes ini mungkin, perlu mematuhi Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 sebelum menandatangani sebarang perjanjian untuk memuktamadkan cadangan penggabungan itu," katanya.

MIDF berkata sekiranya persetujuan dicapai, ia juga akan tertakluk kepada pelbagai syarat, termasuk semua undang-undang relevan dan kelulusan daripada semua pihak berkuasa kawal selia di Malaysia dan Arab Saudi.

"Pengumuman selanjutnya berhubung cadangan penggabungan itu akan dibuat pada masa sesuai tatkala rundingan sedang berjalan dan pada masa yang sama, perniagaan akan diteruskan seperti biasa," katanya.

-- BERNAMA