Langkah Bank of Japan (BoJ) menetapkan kadar faedah pada negatif dilihat tidak memberikan kesan besar terhadap usaha meningkatkan penggunaan di negara itu, kata MIDF Research dalam nota kajian.

Meskipun bank di Jepun kini boleh memberikan lebih pinjaman, namun ia dilakukan dengan penuh berhati-hati dipacu kegusaran kemungkinan hutang tidak berbayar negara itu.

“Sama seperti krisis kewangan global sebelum ini, bank tidak akan memberikan pinjaman jika mereka beranggapan wujud risiko tinggi pinjaman tidak berbayar,” katanya.

Selain itu, perniagaan Jepun juga dijangka tidak memohon pinjaman baru jika perniagaan diunjur tidak berkembang, susulan kadar penggunaan dan permintaan Jepun yang memperlahan.

Penduduk Jepun dilihat enggan berbelanja dan segala usaha bank pusat kini tertumpu kepada menggalakkan perbelanjaan pengguna dan perniagaan, selain itu kelemahan ekonomi China turut menjejaskan eksport Jepun.

Malah kadar faedah negatif juga gagal menurunkan nilai Yen sebaliknya matawang itu terus mengukuh menyebabkan eksport Jepun lebih mahal.

“Untuk mendapatkan pertumbuhan ekonomi adalah sama dengan kemahuan mempunyai permintaan (domestik) yang tinggi bagi barangan dan perkhidmatan.

"Populasi Jepun semakin tua, dan sukar memacu pertumbuhan ekonomi melalui penggunaan."

MIDF berkata kerajaan Jepun berdepan cabaran besar memulihkan ekonomi dan meningkatkan inflasi dengan ruang pelonggaran polisi lebih kecil, malah kadar faedah negatif hanya akan menyukarkan lagi usaha meningkatkan kadar inflasi.

Jepun berdepan masalah berantai apabila golongan tua semakin meningkat, populasi tidak berkembang, penggunaan terbantut dan berada dalam deflasi panjang.

Ia menyukarkan usaha kitaran kewangan melalui aktiviti ekonomi normal sekaligus menyaksikan negara matahari terbit itu berdepan kemelesetan.

Populasi Jepun menguncup sejak 7 tahun lalu kepada 126.9 juta pada 2015.

Menurut Institut Kajian Populasi dan Keselamatan Sosial Kebangsaan Jepun, ia dijangka menyusut purata 700 ribu setahun antara 2020 hingga 2030.