Dalam usaha membantu orang ramai, golongan usahawan dan syarikat perniagaan mendepani situasi pasca COVID-19, Dewan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITC) turut memainkan peranan organisasi itu melaksanakan inisiatif digital bagi membolehkan urus niaga dilaksanakan secara dalam talian.

Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi MITC, Fazli Abu Bakar berkata, selain urus niaga secara dalam talian, teknologi inovatif seperti pelaksanaan Program Kad Kesetiaan Selangor turut menawarkan diskaun kepada penduduk tempatan, pengunjung dan pelancong untuk berbelanja di banyak lokasi di negeri itu.

Beliau berkata, penyelesaian teknologi inovatif itu membuktikan manfaat untuk kedua-dua platform digital dan rakan kongsi MITC.

"Ekoran penularan COVID-19, norma kehidupan rakyat kini telah berubah dan kini perlu membiasakan diri mereka menggunakan teknologi digital untuk melaksanakan urusan seharian.

"Usaha dilakukan MITC itu selaras Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu sebagai pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang akan dilaksanakan antara bulan Jun dan Disember 2020," katanya di sini pada Jumaat yang turut memaklumkan kos keseluruhan sistem kad itu bernilai RM2 juta dan dibangunkan oleh SLC Center.

Fazli berkata, pelaksanaan teknologi digital dalam tadbir urus negara, tadbir urus sosial dan pembangunan ekonomi akan dapat membantu mendepani krisis seumpama COVID-19 pada masa hadapan.

Berhubung Kad Kesetiaan Selangor, beliau berkata, program itu memperkenalkan sistem kad diskaun pertama memberi tawaran eksklusif kepada penduduk tempatan, pengunjung dan pelancong untuk berbelanja dari banyak tempat di seluruh Selangor bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi setempat dan memberi penjimatan berterusan kepada pengguna sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup.

Jelasnya, Program Kad Kesetiaan Selangor itu mampu meningkatkan kuasa beli dan mengimbangi manfaat situasi menang-menang kepada pengguna serta golongan peniaga sejajar dengan slogan program iaitu ‘Di Selangor, Segalanya Jimat'.

"Kad diskaun tersebut bakal merangkumi sembilan skop perkhidmatan dan produk terpilih iaitu per­khidmatan kerajaan, pengangkutan, pusat rekreasi dan sejarah, penginapan, pusat jualan makanan dan minuman, pusat beli-belah, peruncitan, sukan dan pendidikan.

"Menerusi kerjasama ini, pelanggan hanya perlu menunjukkan kad berkenaan untuk menikmati pelbagai diskaun menarik yang ditawarkan oleh rakan niaga MITC yang terlibat bermula 10 peratus hingga 70 peratus setiap hari mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.

"Sistem kad ini berbeza daripada mana-mana kad diskaun lain kerana MITC juga turut menempatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peniaga secara dalam talian untuk memberi banyak opsyen kepada pelanggan mendapatkan barangan keperluan harian," katanya.

Menurutnya, pihaknya meletakkan sasaran pengguna kad itu seramai 500,000 orang pada tahun ini yang akan dijadikan pelanggan setia kepada rakan niaga MITC yang berdaftar.

Beliau berkata, pelanggan boleh melihat promosi dan pemasaran rakan niaga MITC menerusi laman web www.selangorloyaltycard.com.