Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersedia menyalurkan input dalam empat bidang kepada Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) bagi membantu menangani cabaran ekonomi dan kewangan semasa.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata bidang-bidang terbabit ialah pelaburan, perdagangan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta produktiviti bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan.

"JKE yang baharu ditubuhkan ini akan merangkumi banyak sektor dalam ekonomi kita.

"Tumpuan utama kami ialah perdagangan, pelaburan, PKS dan produktiviti. Bidang-bidang ini amat penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan membantu pemulihan ekonomi," katanya ketika ditemui pada sambutan bulan kemerdekaan di bangunan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), di sini hari ini.

Pada majlis itu Mustapa turut melancarkan pusat asuhan kanak-kanak Matrade serta projek landskap agensi berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi mempertingkat perdagangan antarabangsa, Majlis Eksport Negara di bawah kementeriannya yang sentiasa mengadakan pertemuan, menggariskan beberapa langkah termasuk mengenai China.

"China mengubah dirinya daripada bertumpu pada pertumbuhan yang dipacu oleh eksport dan pelaburan kepada yang berasaskan penggunaan domestik.

"Sehubungan itu, kita perlu ada polisi yang seiring dengan apa yang berlaku di China, berdasarkan corak perubahan permintaan negara itu," kata Mustapa.

Beliau berkata pasaran lain seperti Eropah, Afrika dan Amerika Syarikat juga sama penting memandangkan Malaysia perlu terus mempelbagai pasarannya.

"Kami sedang melakukan persediaan. Walaupun kami percaya JKE ada cadangannya sendiri, kami juga bersedia dengan cadangan kami yang menumpukan kepada empat bidang itu," katanya.

Dalam catatan laman sosial Facebooknya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penubuhan JKE bertujuan meminimumkan kesan daripada isu ekonomi berbangkit terhadap ekonomi.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar itu akan bertemu setiap minggu dan melapor terus kepada kepada Najib.