Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menyaksikan peningkatan kecil pendaftaran vendor baharu dalam Program Pembangunan Vendor (PPV) tahun ini disebabkan sektor minyak dan gas yang lemah.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata usaha untuk mengekalkan rekod tahun lepas dengan peningkatan 80.4 peratus atau 1,303 pendaftaran vendor baharu dalam PPV berbanding tahun lepas, sangat mencabar.

Sembilan syarikat vendor diiktiraf sebagai Pembekal Strategik kepada Tenaga Nasional Bhd, salah satu daripada pembekal PPV, pada 12 Mac lepas.

"Pengiktirafan ini membuktikan komitmen vendor Bumiputera yang berdaya saing dan berdaya maju serta menghasilkan produk yang memenuhi standard dan piawaian yang boleh menembusi pasaran antarabangsa," katanya pada sidang media selepas merasmikan program "GLC SME Explorace 2015" hari ini.

Mustapa berkata sejak perlaksanaan PPV, 16 syarikat utama telah melaksanakan program ini yang melibatkan 2,923 syarikat vendor Bumiputera yang aktif dengan jumlah nilai kontrak terkumpul sebanyak RM53.2 bilion.

PPV merupakan satu program yang diwujudkan oleh kerajaan bertujuan untuk membantu membangunkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana menjadi pengilang dan pembekal komponen/perkhidmatan yang kompetitif bagi pasaran domestik dan global.

Program GLC SME Explorace 2015 dua hari yang bermula hari ini merupakan gabungan dua program iaitu program GLC Explorace dan program SME Smart Partnership bertema 'Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Menerusi Kepelbagaian Perniagaan'.

"Program ini merupakan platform yang memberikan peluang kepada syarikat utama untuk mengenal pasti pembekal dan vendor mereka, dan pada masa yang sama memberi peluang kepada vendor untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Beliau berkata program itu juga menawarkan program padanan perniagaan, rantaian, nasihat dan perbincangan selain kisah kejayaan vendor.