Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan untuk merealisasikan satu juara dunia, tiga juara serantau dan 10 juara kebangsaan menerusi Program Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP) dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Pengarah Bahagian Keusahawanan dan PKS MITI Khairulnizam Hashim berkata kementerian itu yakin dapat mencapai sasaran itu menjelang 2020 berdasarkan kejayaan merealisasikan satu juara dunia, satu juara serantau dan tujuh juara kebangsaan pada 2016.

"Menerusi program itu, kami mempunyai 21 syarikat utama dengan 1,418 syarikat vendor, yang menyumbang RM30.44 bilion pendapatan.

"Kami mahu menambah beberapa lagi syarikat utama tahun ini, dan dengan itu, kami berharap lebih banyak vendor akan memenuhi kriteria untuk berjaya menerusi program itu," katanya pada taklimat media mengenai program itu di sini pada Selasa.

Khairulnizam berkata tahun ini, RM12 juta diperuntukkan sebagai Geran Penyelidikan dan Pengkomersilan Vendor bagi memperkasakan vendor Bumiputera.

Beliau berkata 15 vendor menerima geran bernilai RM9 juta dalam tempoh 2016-2017.

-- BERNAMA