Bekas Pengarah Urusan Teras Dara Konsortium Sdn Bhd, Mohd Nazrul Izam Mansor dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felcra Berhad baharu berkuat kuasa Isnin ini.

Pengerusi Felcra Berhad Datuk Nageeb Wahab berkata pelantikan Mohd Nazrul Izam, 43, adalah bagi menggantikan Datuk Zulkarnain Md Eusope yang menamatkan perkhidmatannya hari ini.

Beliau berkata kontrak Zulkarnain sepatutnya berakhir pada Julai tahun depan namun atas persetujuan bersama beliau mengundurkan diri lebih awal.

"Bermula hari ini Datuk Zulkarnain akan mengundurkan diri sebagai CEO Felcra Berhad, ini di atas persetujuan bersama beliau dengan pihak Lembaga Pengarah Felcra Berhad dan juga Jabatan Perdana Menteri.

"Dan sebagai penggantinya Kementerian Kewangan telah melantik Mohd Nazrul Izam bermula 22 Okt ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Felcra Berhad di sini hari ini.

Nageeb berkata Mohd Nazrul Izam yang merupakan ahli Malaysian Institute of Accountants mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam pelbagai bidang termasuk perladangan dan hartanah.

Sementara itu, Mohd Nazrul Izam berkata beliau berharap mendapat sokongan dan kepercayaan untuk membawa Felcra Berhad ke tahap yang lebih tinggi selain meningkatkan lagi hubungan dengan peserta-peserta Felcra.

Dalam pada itu, Nageeb berkata Lembaga Pengarah Felcra Berhad juga bersetuju untuk membuat audit pengurusan dengan segera supaya dapat merancang hala tuju syarikat itu.

"Lembaga Pengarah bersetuju audit pengurusan diadakan supaya kami boleh menentukan di mana kedudukan Felcra hari ini. Jika ada yang melakukan kesalahan dan sesiapa pernah terlibat dengan masalah mereka harus berhenti," katanya.

-- BERNAMA