Moody's Investors Servis berkata enam bank Malaysia yang dinilainya, menunjukkan prestasi kukuh pada 2017, dengan potensi peningkatan tambahan dalam beberapa bidang pada 2018.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody's, Simon Chen, berkata kualiti aset dan keuntungan enam bank berkenaan pada umumnya meningkat pada 2017, manakala permodalan dan pembiayaan kekal mencukupi.

"Kami menjangkakan permintaan pinjaman semakin pulih pada 2018, selain syarat pembiayaan yang diperketat.

"Hasilnya, pertumbuhan keuntungan dalam kalangan bank dengan francais deposit yang lebih lemah boleh dihadkan oleh kos pembiayaan yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini mengenai laporannya yang bertajuk 'Bank - Malaysia: 2017 Meningkatkan Kualiti Aset Stabil, Keuntungan Meningkat".

Enam bank dalam laporan itu ialah, Malayan Banking Bhd (A3/A3 stabil, a3), CIMB Group Holdings Bhd (Baa1 stabil), Public Bank Bhd (A3 stabil, a3), RHB Bank Bhd (A3/A3 stabil, baa3) , Hong Leong Bank Bhd (A3 stabil, baa1) dan AmBank (M) Bhd (Baa1 / Baa1 stabil, baa3).

Ia berkata kualiti aset akan meraih manfaat daripada kedudukan makro ekonomi yang lebih kukuh pada 2018, dalam negara dan serantau.

"Bank dengan pendedahan kepada sektor minyak dan gas dapat melihat kualiti aset mereka stabil berdasarkan harga minyak yang lebih kukuh," kata firma penarafan kredit itu.

Laporan itu mendapati kebanyakan bank mencatatkan keuntungan yang lebih baik pada 2017, didorong oleh pertumbuhan pendapatan yang mantap, margin faedah bersih yang stabil dan kos kredit yang menyederhana.

"Keadaan yang menggalakkan ini dijangka berterusan pada 2018, dengan usaha transformasi digital yang berterusan akan menyokong pertumbuhan yang lebih kukuh dalam hasil dan kecekapan kos.

"Pertumbuhan pinjaman juga akan melantun semula pada 2018, disokong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk pinjaman korporat dan pinjaman pengguna yang stabil, dan perkembangan ini serta margin faedah bersih yang stabil, akan menyokong keuntungan bank," kata Moody's.

Ia juga berkata kos kredit keseluruhan akan meningkat sedikit daripada 2017, didorong terutama oleh caj kredit yang lebih tinggi yang diperlukan mengikut Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9) berkuat kuasa 1 Jan, 2018.

"Walaupun bank pada umumnya dapat menyokong pertumbuhan kunci kira-kira mereka melalui pendapatan terkumpul yang stabil pada 2018, ada yang mengunjurkan pelaksanaan MFRS9 akan menghasilkan penurunan nisbah Ekuiti Tahap 1 sebanyak antara 20 dan 80 mata asas.

"Profil pembiayaan tetap berdaya tahan, disebabkan nisbah pinjaman kepada deposit susut sedikit bagi kebanyakan bank pada 2017 berikutan pertumbuhan pinjaman yang perlahan, namun berkemungkinan meningkat pada 2018, apabila pertumbuhan pinjaman pulih," kata Moody's. - BERNAMA