Moody's Investors Service (Moody's) hari ini mengesahkan penarafan penerbit mata wang asing dan tempatan serta bon tidak bercagar senior Kerajaan Malaysia pada A3 dengan prospek stabil.

Moody's dalam satu kenyataan hari ini berkata pemacu utama yang menyokong penarafan A3 dan prospek stabil itu adalah jangkaan beban hutang kerajaan kekal tinggi tetapi secara keseluruhannya stabil, pendedahan agak tinggi ekonomi dan sistem kewangan kepada pengehadan pembiayaan luar, serta prospek pertumbuhan kukuh dan berdaya tahan Malaysia.

Mengenai beban hutang kerajaan, agensi penarafan itu berkata pada 50.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat Jun 2017, hutang kerajaan Malaysia adalah jauh lebih tinggi berbanding median kumpulan negara yang diberi penarafan A (40.5 peratus daripada KDNK pada akhir 2016).

"Meskipun kami menjangka nisbah hutang kekal stabil dalam tempoh beberapa tahun akan datang, ia juga dijangka kekal di atas median bagi negara-negara yang diberi penarafan A," kata agensi itu.

Moody's berkata komitmen kerajaan kepada pengukuhan fiskal telah membawa kepada penurunan defisit fiskal setiap tahun berturut-turut dalam tempoh tujuh tahun lepas.

"Walaupun kadar pengukuhan dijangka perlahan pada masa depan, kami masih menjangka defisit terus berkurangan lagi kepada 2.8 peratus daripada KDNK pada 2018 sejajar dengan unjuran bajet, daripada 3.0 peratus pada 2017 dan 6.7 peratus pada 2010," kaat agensi penarafan itu.

Pengurangan defisit dicapai kebanyakannya menerusi perbelanjaan berhemat dan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan pada 2015. Bagaimanapun, ketiadaan langkah-langkah menjana hasil yang penting, akan menyebabkan pengukuhan fiskal tambahan menjadi terhad.

Justeru itu, Moody's berpandangan, pencapaian matlamat bajet berimbang kerajaan akan bergantung terutamanya kepada pengembangan pertumbuhan, dan bukannya langkah-langkah bajet berstruktur. Ia tidak menjangkakan objektif ini dapat dicapai mengikut sasaran asal kerajaan pada 2020.

Mengenai pendedahan tinggi ekonomi dan sistem kewangan kepada pengehadan dalam ketersediaan dan kos pembiayaan luar, Moody's menyatakan kehadiran pelabur bukan pemastautin yang aktif dalam pasaran kewangan Malaysia menjadikannya terdedah kepada perubahan mendadak dalam aliran modal.

Agensi itu berkata rizab mata wang asing meningkat tetapi kekal rendah berbanding hutang rentas sempadan dalam seluruh ekonomi yang perlu dibayar tahun tahun, manakala rizab asing lebih besar berbanding hutang jangka pendek dengan tempoh matang asal.

Mengenai prospek pertumbuhan, Moody's berkata Malaysia mempunyai prospek pertumbuhan kukuh dan berdaya tahan dengan struktur ekonomi yang kompetitif dan amat pelbagai.

"Ketahanan pertumbuhan mengharungi tekanan luaran, seperti penurunan harga komoditi dan harga minyak serta pergolakan politik, merupakan bukti keupayaan ekonomi menyerap kejutan.

"Antara 2012-2021, kami menjangka pertumbuhan KDNK berada pada purata 5.1 peratus, menjadikan Malaysia satu daripada negara-negara dengan penarafan A yang paling pantas berkembang, dengan diatasi hanya oleh China dan Ireland, dan setara dengan Malta," kata agensi itu.

Sebagai rumusannya, Moody's berkata dengan ketiadaan pembaharuan seterusnya, dijangkakan komitmen kerajaan kepada pengukuhan fiskal hanya akan membawa kepada penambahbaikan terhad dalam keberhutangan awam dan kemampuan hutang Malaysia.

Bagaimanapun, ia berkata, laluan pertumbuhan kukuh, yang menyediakan asas bagi pengembangan KDNK nominal, membawa kepada kestabilan beban hutang.

Meskipun kehadiran pelabur asing yang besar dan pendedahan kepada eksport berkaitan komoditi menyebabkan kedudukan luar terdedah kepada perubahan dalam kadar faedah dan pergerakan harga komoditi global, faktor-faktor mitigasi asas, termasuk pasaran modal domestik Malaysia yang kukuh serta kedudukan luar yang kukuh, meringankan kesan ketidaktentuan itu, kata Moody's.

--BERNAMA