Moody's Investors Service (Moody's) telah mengesahkan penarafan deposit mata wang asing jangka panjang A3 dan penilaian hutang mata wang asing tidak bercagar senior jangka panjang A3 Maybank dengan prospek yang stabil.

Agensi penarafan kredit global itu turut mengesahkan penilaian kredit asas (BCA) dan pelarasan BCA bank itu pada a3 manakala penarafan hutang subordinat atau tanpa jaminan mata wang asing jangka panjang bank itu pada Baa2.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Moody's berkata pengesahan penarafan A3 dan a3 BCA Maybank itu turut memaparkan pandangannya bahawa prestasi kewangan bank tersebut kekal berdaya tahan berikutan rekod prestasinya yang memberangsangkan sejak sedekad lepas selain memiliki penampan modal yang kukuh, pendanaan yang baik serta mudah tunai yang mencukupi.

Langkah penarafan itu turut mengambil kira jangkaan Moody's mengenai kualiti aset dan keuntungan bank itu yang menyederhana akibat impak ekonomi susulan penularan COVID-19.

"Maybank mempunyai modal yang kukuh, disokong oleh rancangan pelaburan semula dividen bank dan pertumbuhan kredit yang sederhana. Ekuiti biasa ketara (TCE) bank sebagai peratusan aset wajaran risiko sebanyak 19.1 peratus setakat 31 Mac 2020 adalah melangkaui bank lain di rantau ini yang turut memberikan penampan risiko yang memadai," katanya.

Aspek pendanaan dan mudah tunai merupakan kekuatan Maybank yang diperkukuhkan lagi oleh kedudukannya sebagai bank terbesar Malaysia dari segi aset. Bank itu turut memiliki asas deposit yang kukuh serta akses pasaran yang baik manakala penampan mudah tunainya adalah sejajar dengan bank di rantau ini.

Menurut Moody's, sejak beberapa tahun lepas, kualiti aset Maybank membabitkan pinjaman asing, kebanyakannya di Singapura dan Indonesia -- telah merosot berikutan pendedahan pinjaman bank yang banyak tertumpu kepada sektor-sektor seperti minyak dan gas, penghantaran dan kredit perdagangan berstruktur.

Nisbah pinjaman terjejas kasar untuk operasi bank itu di Singapura dan Indonesia masing-masing mencatatkan 4.0 peratus dan 4.9 peratus, setakat 31 Mac 2020 berbanding 2.0 peratus bagi Malaysia.

Walaupun kualiti asetnya yang lemah, Maybank telah bertindak menyahrisiko jumlah pinjaman antarabangsanya dan mengurangkan tumpuan terhadap peminjam besar, kata agensi penarafan itu.

"Sehubungan itu, Moody's tidak menjangkakan sebarang penyusutan material seterusnya terhadap kualiti pinjaman korporat antarabangsa bank itu," katanya.

Malah, sejajar dengan aliran bagi rakan bank lain di rantau ini, Moody's menjangkakan kualiti pinjaman runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan merosot berikutan impak ekonomi akibat penularan COVID-19 di negara-negara yang menempatkan operasinya.

Mengikut data-data setakat Mei 2020, kira-kira 60 peratus daripada pinjaman-pinjaman bank itu di bawah pembayaran semula moratorium sehingga Oktober 2020 dan Moody's menjangkakan jumlah pinjaman yang terjejas akan meningkat sebaik sahaja tempoh penangguhan pembayaran itu berakhir.

Kos kredit turut meningkat akibat tekanan terhadap kualiti aset selain menjejaskan keuntungan.

"Bagaimanapun, penampan kukuh Maybank dari segi mengurangkan kerugian akan meletakkannya di kedudukan selesa bagi mengharungi kejutan ekonomi," katanya.

-- BERNAMA