Sebagai sebahagian usaha menyokong revolusi industri 4.0, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) memperkenalkan Program Pemecutan Robotik (MTDC RAP) khusus bagi kumpulan penyelidik di universiti awam dan swasta.

Melalui MTDC RAP ini, usaha digerakkan untuk membantu dan memberi pendedahan dan latihan kepada kumpulan penyelidik ini ke arah membangunkan industri robotik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTDC , Datuk Norhalim Yunus, MTDC RAP berhasrat menjadi sebahagian daripada inisiatif dalam menjana idea, inovasi dan projek dalam bidang robotik.

Selain itu, Norhalim juga berkata program ini diharap akan membuka minda penyelidik dari aspek perniagaan agar mereka mampu mencipta sesuatu yang sesuai dengan kehendak pasaran.


"Ia merupakan satu latihan yang akan membuka minda mereka dari segi perniagaan, kalau mereka berfikiran teknologi mereka akan mencipta sesuatu yang canggih tetapi jika mereka berfikiran perniagaan mereka akan mencipta sesuatu yang mampu untuk dimiliki," katanya semasa merasmikan program MTDC RAP di sini.

Beliau menyatakan juga bahawa program ini bertujuan untuk membawa idea-idea yang boleh dibangunkan, disesuaikan dengan kehendak pasaran dan kebolehpasaran, dari segi harga, tahap teknologi, supaya apabila masyarakat Malaysia boleh membelinya dan mereka tidak perlukan seorang jurutera khas robot untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Seramai 50 peserta terlibat dalam sesi boot camp MTDC RAP yang berlangsung selama 3 hari iaitu daripada 15 sehingga 17 Oktober di Pusat Teknologi UPM-MTDC.

Selepas boot camp ini berakhir, lima pasukan akan dipilih untuk menerima latihan, khidmat nasihat dan bimbingan untuk meneruskan projek mereka.