MY E.G. Services Bhd (MyEG) memperkenalkan perisian pengurusan gaji berasaskan blockchain, PayMe, bagi membantu syarikat merekod dan menguruskan kerja lebih masa pekerja dengan tepat dan berkesan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan e-kerajaan itu berkata, ujian percubaan akan dimulakan di beberapa tempat tidak lama lagi.

PayMe, perkhidmatan langganan bulanan, direka bentuk khusus untuk syarikat yang menggunakan tenaga kerja besar dengan imbuhan yang dinamik.

MyEG menyasarkan pelanggan korporat sedia ada yang menggunakan pelbagai perkhidmatannya sebagai pengguna PayMe, kata syarikat itu.

"Memanfaatkan faedah blockchain adalah antara teras fokus MyEG pada masa ini. Kami percaya bahawa MyEG berada dalam kedudukan yang betul untuk menggunakan penyelesaian blockchain di seluruh industri dengan memaksimumkan potensi lejar yang diedarkan," kata Pengarah Urusan, TS Wong.

Menurut syarikat itu, reka bentuk blockchain sesuai untuk menyelesaikan ketidakcekapan dalam pengurusan gaji melihat kepada kekangan teknologi, yang mana data tidak boleh diubah secara sehala selepas ia direkodkan

Tambahan lagi katanya, sifat blockchain bermakna pihak berkepentingan akan mendapat akses kepada data, memastikan ketelusan dan meminimumkan kemungkinan potensi pertikaian.

-- BERNAMA