Faktor nafsu atau keinginan memiliki barangan merupakan punca utama golongan menengah Melayu yang berpendapatan RM4,300 ke bawah menjadi papa.

Pengurus Besar Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Datuk Ab Wahab Khalil, berkata, sebahagian mereka sebenarnya tidak mampu, namun memilih untuk mencagarkan gaji bulanan untuk mendapatkan harta yang mereka inginkan.

"Sebab kebanyakan daripada harta yang mereka ada telah dimiliki oleh pemudah cara. Misalannya kebanyakan daripada pemudah cara yakni faktor-faktor kepenggunaan yang menyediakan barang-barang kegunaan ini cuma memuaskan nafsu keinginan masyarakat pengguna sebab masyarakat pengguna ini terbahagi kepada tiga.

"Pertama, basic needs, kedua keinginan keperluan dan ketiga impian, jadi kebanyakan terjebak faktor keinginan desire yang tinggi," katanya dalam program Analisis Awani ketika membincangkan isu "Kaya dalam Kepapaan", Isnin.

Beliau juga menambah, kebanyakan mereka kekurangan wang tunai kerana ingin memiliki harta yang mereka idamkan.

"Sehinggakan mereka nampak rumah besar, ada sofa, ada kereta dan macam-macam tetapi setiap bulan kita dapati mereka kekurangan wang tunai utk menjana kehidupan mereka seharian,"ujar Ab Wahab

Sementara itu, Ab Wahab memaklumkan, berdasarkan data Bank Negara Malaysia dari 2008 hingga 2012, purata 53 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis setiap hari.

Ia kerana mereka gagal membayar ansuran kereta, gagal melunaskan pinjaman peribadi, tidak berupaya membayar hutang rumah dan menggunakan pinjaman bagi menguruskan perniagaan.

Ab Wahab menjelaskan, bagi mengubah keadaan ini, kerajaan perlu mengubah konsep penstrukturan dalam pemilikan harta.

"Kebanyakan orang bila dah bekerja disebabkan seruan kerajaan 'Home Owning Democracy' semua nak memiliki rumah,"

"Disebabkan itu kebanyakan dari potongan gaji bermula dengan rumah. Kedua konsep untuk memiliki kenderaan. Ini adalah kemestian sebab hanya kenderaan meraka boleh bergerak tetapi kalau infrastruktur negara lebih efisyen, mereka tidak perlu mengorbankan gaji mereka untuk membeli kenderaan. Mereka boleh menggunakan public transport," jelasnya lagi.