Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Gu'an New Industry City, sebuah bandar raya industri berasaskan inovasi.

Bekas kawasan pertanian di wilayah Gu'an itu, yang terletak kira-kira 50km ke selatan Beijing, dimajukan oleh China Fortune Land Development Co Ltd (CFLD) sejak 2002 sebagai hab pembangunan industri yang berfokuskan kepada lima kelompok industri.

Kelompok berkenaan membabitkan aeroangkasa, perkilangan perkakasan mewah, e-dagang dan industri perkhidmatan moden.

Najib kini di China untuk lawatan rasmi enam hari mulai Isnin.

Ketibaan Najib disambut oleh Presiden Antarabangsa CFLD Jerry Zhao, yang turut memberikan taklimat mengenai transformasi Gu'an sebagai hab industri antarabangsa yang menyumbang pendapatan fiskal sebanyak US$830 juta pada 2015, selain mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan berkenaan.

CFLD melabur US$4.8 bilion di pada Gu'an New Industry City, yang sedang dibangunkan bagi menampung sejuta penduduk.

Najib juga meninjau teknologi paparan AMOLED generasi keenam, teknologi yang dibangunkan oleh CFLD dengan kerjasama Tsinghua Visionox and Govisionox Optoelectronics Co Ltd (GVO).

Jun lepas, CFLD memeterai kerjasama menyeluruh dengan pasukan Tsinghua OLED dan Visionox, untuk bersama-sama mempromosikan teknologi industri bebas, AMOLED.

Projek OLED merupakan usaha utama pertama syarikat itu di peringkat antarabangsa dalam teknologi paparan baharu, dengan jumlah pelaburan sebanyak US $4.4 bilion, termasuk US$4.2 bilion untuk barisan pengeluaran manakala US$221 juta lagi untuk pusat R&D paparan generasi akan datang.

Modal berdaftar syarikat itu untuk projek ini sebanyak US$2 bilion, dan dijangkakan beroperasi sepenuhnya pada Jun 2018, menghasilkan 30,000 panel reka bentuk 1500mm x 1850mm sebulan.

Nilai keluaran tahunan projek itu dijangka mencecah US$2.85 bilion dengan keuntungan sebanyak US$560 juta.

Najib juga melawat Pusat Pengisihan JD E-Commerce Park Gu'an, yang mampu menyusun tempahan 300,000 JD.com.

Taman ini mengendalikan tempahan untuk Tianjin, Hebei, Shandong, Shanxi dan pedalaman Mongolia, dan memproses satu pertiga daripada tempahan harian di utara China.

Pusat ini juga memproses lebih 120 juta tempahan elektronik setiap tahun, kira-kira 15 peratus daripada kesemua tempahan yang diproses di China. -- Bernama