Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan laluan baharu AirAsia bagi penerbangan terus dari Langkawi ke Shenzen, China, yang akan membuka jalan bagi pulau bebas cukai ini untuk terus dimajukan sebagai destinasi pelancongan berkelas dunia.

Upacara itu berlangsung di Kompleks Lang Merah di sini dan turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi serta ketua eksekutif kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

Perkhidmatan tiga kali seminggu itu, yang bermula 9 Ogos, akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Langkawi, sejajar dengan misi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk meneroka pasaran asing baharu.

AirAsia mengadakan penerbangan ke tujuh destinasi dari Langkawi, dengan menggunakan laluan domestik terdiri daripada Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuching serta tiga laluan antarabangsa iaitu Singapura, Guangzhou dan Shenzen (China).

Sementara itu, dalam ucapan beliau, Tony menyanjung tinggi kepimpinan Najib kerana mengurangkan cukai lapangan terbang, yang enggan dikaji semula Malaysian Airports selama empat tahun.

"Hari ini, kita dapat melihat bahawa hasil daripada nilai kepimpinan berani beliau (Najib), pelancong langsung antarabangsa meningkat daripada 87,754 penumpang pada 2015 kepada 187,433 tahun lepas, meningkat sebanyak 120 peratus," kata beliau.

Jumlah itu, katanya, mewakili sumbangan sebanyak RM300 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar berdasarkan 12 kali kesan pengganda, dengan 2016 merupakan tahun pertama jumlah pelancong antarabangsa mengatasi jumlah pelancong domestik.

"Kami mendapat semangat daripada itu dan pada tahun ini sahaja, kami telah menerbangkan lebih satu juta pelancong ke Langkawi melalui 238 penerbangan mingguan kami dari Langkawi," katanya.

--BERNAMA