Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kekeliruan dan fitnah berkenaan hutang Kerajaan Persekutuan berada di paras berbahaya, adalah tidak benar.

Melalui laman blognya, Perdana Menteri menyatakan pada akhir Jun 2017, hutang Kerajaan Persekutuan mencatat 50.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), angka yang masih di bawah paras had yang ditetapkan Kerajaan iaitu 55 peratus daripada KDNK.

"Ini menunjukkan hutang Kerajaan masih kekal terurus, malah semakin berkurang 53.2 peratus pada akhir Jun 2016. Ini merupakan pencapaian yang patut kita banggakan.


Hutang Kerajaan berbanding KDNK Malaysia adalah lebih baik berbanding negara maju seperti Singapura


"Bukan itu sahaja, nisbah hutang Kerajaan berbanding KDNK Malaysia adalah lebih baik berbanding negara maju seperti Singapura pada paras 112 peratus, United Kingdom pada 89.3 peratus, Kanada pada paras 92.3 peratus dan banyak lagi contoh-contoh yang lain," katanya.

Datuk Seri Najib turut menyangkal tuduhan bahawa Kerajaan bakal muflis hanya berdasarkan hutang Kerajaan Persekutuan sedangkan badan ekonomi antarabangsa seperti Bank Dunia, menaikkan unjuran KDNK daripada 4.9 peratus kepada 5.2 peratus bagi 2017.

Malah, menurut Perdana Menteri tidak masuk akal untuk mengatakan negara akan muflis apabila banyak negara luar mahu melabur dan merangka perjanjian perdagangan dengan Malaysia.

Meskipun Kerajaan hari ini menghadapi cabaran fitnah pembangkang yang mengharapkan ekonomi Malaysia ranap semata-mata untuk mendapat kuasa, Kerajaan hari ini akan sentiasa mencari jalan mengukuhkan ekonomi negara bagi menaikkan nama negara setaraf dengan kuasa besar ekonomi dunia yang lain, tegas Najib.

-- BERNAMA