Kerajaan akan meneruskan Projek Kenderaan Malaysia (MVP) di bawah Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, projek kereta Malaysia itu akan memberi penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan teknologi terkini untuk memastikan negara mampu bersaing dalam pasaran domestik dan global.

“Kelompok teknologi baru serta tenaga kerja pakar baru, terutamanya dalam industri kejuruteraan automotif akan dapat dibangunkan dengan sebaiknya.

“Projek Kenderaan Malaysia yang baharu dijangka menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui sokongan kepada kedua-dua industri utama dan hiliran dengan mewujudkan permintaan bahan berkaitan lain, seperti keluli, plastik, produk getah dan petrokimia yang bermutu tinggi, yang akan merangsang pertumbuhan selanjutnya subsektor ini,” katanya dalam ucaptama sempena pelancaran NAP 2020 di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini pada Jumaat.

Kerajaan juga komited untuk memastikan Malaysia terus maju dan kekayaan serta kemakmurannya dikongsi dengan cara yang saksama di kalangan semua.

“Untuk mencapai aspirasi ini, beberapa dasar penting telah diperkenalkan termasuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Industry4RWD dan Dasar Pengangkutan Negara untuk mempercepatkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia,” ujar beliau lagi.

NAP 2020 juga katanya harus dilihat oleh semua sebagai dokumen dasar keseimbangan dan komprehensif yang akan mempertimbangkan kepentingan semua pihak berkepentingan dalam sektor automotif domestik.

“Dalam usaha untuk penambahbaikan dan menyediakan industri automotif kepada fasa seterusnya dalam hubungan mobiliti.

“Kesimpulannya, kejayaan NAP 2020 bergantung kepada pelaksanaan tujuh pelan tindakannya. Untuk itu, saya menggesa pihak berkepentingan dari agensi kerajaan kepada sektor swasta untuk bekerjasama melaksanakan NAP 2020,” tambahnya.

Antara sasaran NAP 2020 yang dirangka untuk tahun 2020 hingga 2030 itu ialah sasaran GDP RM104.2 billion selain menyumbang 323 ribu peluang pekerjaan terutama dalam industri pembuatan, robotik, MaaS dan selepas pasaran menjelang tahun 2030.

Ia turut mensasarkan jumlah pengeluaran kenderaan penumpang dan komersil sebanyak 1.47 juta unit dalam tempoh berkenaan.