Perbincangan antara Malaysia dan Singapura dalam usaha memuktamadkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura bakal berlangsung bulan ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau telah mengemukakan kepada kerajaan Singapura permohonan rasmi bagi mengadakan perbincangan.

"Tarikh perbincangan ditetapkan Singapura tetapi saya sudah balas surat untuk sahkan tarikh dan mesyuarat rasmi diadakan pada bulan ini," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mohamed Azmin bagaimanapun tidak memberi sebarang indikasi sama ada akan terdapat beberapa siri perbincangan atau ia akan terus dimuktamadkan pasca mesyuarat itu.

Beliau pada masa sama menafikan lawatannya ke Singapura minggu lalu adalah untuk berbincang dengan kerajaan republik berkenaan mengenai projek HSR.

"Saya ke Singapura melawat Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sedang mendapatkan rawatan susulan selepas pembedahan di hospital di sana.

"Saya ambil peluang bertemu pegawai kanan rasmi dalam projek HSR dan ia berlangsung dengan positif," katanya.

Singapura sebelum ini menyambut baik cadangan Malaysia memulakan perbincangan projek HSR selepas menerima surat daripada Mohamed Azmin bertarikh 23 Julai lalu.

Surat itu antara lain menyatakan, kerajaan Malaysia sedang mengkaji butiran projek HSR dan akan memulakan perbincangan dengan Singapura tidak lama lagi.

BACA: Singapura sambut baik cadangan Malaysia untuk mulakan perbincangan mengenai HSR

Kerajaan Singapura menggunakan saluran diplomatik sejak 1 Jun lalu bagi memohon supaya kerajaan Malaysia memberi jawapan bertulis menjelaskan kedudukannya mengenai projek HSR.

Singapura ingin mengetahui status dan pendirian Malaysia dalam isu berkenaan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, projek itu mungkin ditangguhkan kerana negara tidak mempunyai dana untuk membayar pampasan yang besar kepada Singapura.