Naza Corporation Holdings memeterai perjanjian penjualan saham dan usahasama dengan syarikat pembuat kereta kedua terbesar Eropah, Groupe PSA, dengan hasrat menjadi hab penghasilan kereta Eropah di rantau ini.

Kerjasama itu menyaksikan Groupe PSA memegang majoriti saham dalam operasi bisnes kilang Pembuatan Automotif Naza (NAM) di Gurun, Kedah, sementara Naza bertanggungjawab dalam pengedaran kereta jenama Peugeot, Citroen dan DS Automobiles untuk pasaran tempatan.

Naza diwakili Pengerusi Eksekutif juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, SM Nasarudin SM Nasimuddin, sementara Groupe PSA diwakili Naib Presiden Eksekutif (China dan Asia Tenggara)nya, Carlos Gomes, disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Usahasama terbaharu ini bakal menyaksikan pengenalan model-model baharu dan membantu membangunkan industri dinamik automotif Malaysia yang responsif kepada teknologi terbaharu.

“Ini satu lagi contoh hebat bagi jalinan kerjasama oleh syarikat Malaysia dengan aspirasi global berlangsung di bawah pimpinan kerajaan ini,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada majlis yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Melalui pakatan ini, NAM dijangka menghasilkan 18,000 unit kenderaan untuk tahun 2019, dengan tambahan lagi 21,000 unit untuk tahun 2020 yang bakal menjana pendapatan masing-masing sebanyak RM724 juta dan RM967 juta.

Malah jelas Perdana Menteri lagi, ia akan melonjak ekonomi negara, spesifiknya di sekitar Gurun dengan jangkaan penglibatan 70 vendor tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang, sekaligus mewujudkan 1,200 peluang pekerjaan di Kedah.

“Anda tidak akan mendengarnya daripada pihak pembangkang.

“Setiap kali ada syarikat luar datang ke sini, mereka dakwa bahawa kita mahu menjual negara. Kita langsung tidak buat perkara tersebut. Mereka yang cuba memperdaya rakyat,” tegas Najib.

Hasil kerjasama ini, tidak lama lagi dalam tahun ini juga NAM akan menghasilkan model pemenang anugerah, Peugeot 3008 seterusnya model ikonik Citroen C5 Aircross pada tahun depan.

Selain Peugeot, Citreon dan DS, Groupe PSA yang turut memegang jenama Opel dan Vauxhall, pernah bersaing dengan Kumpulan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) untuk membeli pegangan ekuiti dalam syarikat automotif nasional, Proton Holdings Berhad.