Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya menarik pelaburan bernilai RM4.47 bilion untuk tempoh Januari hingga Jun 2016.

Kejayaan ini merupakan petanda positif dalam petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan sebelum ini dengan menyasarkan pelaburan swasta sebanyak RM6.5 bilion yang kini melangkaui 50 peratus sasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq memberitahu, pihaknya terus berusaha memperluaskan penyertaan swasta bagi memastikan limpahan sosioekonomi diagihkan secara adil berpandukan objektif "Pembangunan Berteraskan Kesaksamaan Sosial".

"Kami yakin untuk capai sasaran yang telah ditetapkan sebelum ini terutamanya dalam menarik lebih banyak pelabur serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Dalam setengah tahun pertama ini, NCIA telah berjaya mewujudkan 7,477 peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan, terutamanya pekerja mahir dalam sektor pembuatan dan diikuti sektor pertanian," katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat keenam belas Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) di sini hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyaksikan Pertukaran Dokumen Perjanjian Program Pembangunan di Koridor Utara bernilai RM960 juta yang membabitkan tiga syarikat iaitu Temasek Growth Sdn Bhd, FigDirect Sdn Bhd, Attest Research Sdn Bhd dan Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Muda Selatan dengan kerajaan negeri Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perdana Menteri sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di sini.