Negara-negara yang terlibat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) komited untuk memastikan aliran bebas maklumat global dan data yang akan memacu ekonomi digital dan Internet.

Ia tertakluk kepada matlamat dasar awam yang sah seperti perlindungan maklumat peribadi, demikian menurut teks akhir TPPA yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini hari ini.

Mengikut bab Perdagangan Elektronik, 12 negara terlibat dalam TPPA bersetuju untuk tidak menghendaki syarikat yang terlibat dengan perjanjian itu mewujudkan pusat data bagi menyimpan data sebagai syarat untuk operasi di dalam pasaran TPPA.

"Bab ini turut menyentuh larangan pengenaan duti kastam ke atas penghantaran elektronik dan menghalang negara yang menyertai TPPA daripada memihak pengeluar atau pembekal nasional bagi produk berkenaan melalui langkah diskriminasi atau sekatan secara terang-terangan.

"Bagi melindungi pengguna, negara yang menyertai TPPA bersetuju untuk menerima pakai dan mengekalkan undang-undang perlindungan pengguna yang berkaitan aktiviti komersial palsu dan mengelirukan dalam talian, dan memastikan privasi dan lain-lain perlindungan pengguna boleh dikuat kuasa dalam pasaran TPPA," demikian menurut teks tersebut.

12 negara tersebut turut bersetuju untuk bekerjasama membantu perniagaan berskala sederhana dan kecil mendapat kelebihan daripada perdagangan elektronik.

Bab berkenaan turut menyentuh galakan kerjasama terhadap dasar berkaitan perlindungan maklumat peribadi, perlindungan pengguna dalam talian, ancaman dan keupayaan keselamatan siber.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dalam satu kenyataan hari ini, berkata TPPA akan dibentangkan di Parlimen awal tahun depan untuk dibahas, selepas rundingan selama lima setengah tahun.

Malaysia, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam telah memuktamadkan rundingan tersebut pada 5 Okt lepas di Atlanta, AS.