Next Bike Sdn Bhd, pengimport dan pengedar tunggal jenama Ducati di Malaysia, yakin dapat mencapai pertumbuhan dua angka bagi jualan tahun ini berbanding 300 unit pada 2016.

Timbalan Presiden II, Fazli Hisham berkata selain disokong oleh status Ducati sebagai peneraju jenama premium di Malaysia, sasaran itu turut dipacu oleh pengenalan enam model baharu dalam pasaran tempatan pada pertengahan 2017.

Beliau berkata, antara model itu ialah Monster 797, Multistrada 950, Scrambler Desert Sled, Scrambler Cafe Racer dan SuperSport, yang menerima tempahan mulai hari ini.

"Kita menjangkakan jualan model baharu ini akan berada di tahap menggalakkan memandangkan harga yang ditawarkan cukup menarik dan bersesuaian dengan perkembangan ekonomi semasa," katanya ketika ditemui pemberita di 'Ducati Red Weekend 2017' di Bilik Pameran Ducati di Naza Automall di sini, hari ini.

Beliau berkata, meskipun persekitaran ekonomi semasa mencabar dan tidak begitu memberangsangkan bagi pihak pengeluar, namun Next Bike memberi jaminan tidak akan mengenakan bayaran tambahan atau kenaikan harga kepada pembeli.

"Kami menjangkakan model Ducati Monster 797 dan Multistrada 950 akan mendapat sambutan mengalakkan sekali gus meneruskan kesinambungan model 'hangat' 2016 iaitu Multistrada 1200," katanya. -- Bernama