Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mempunyai nilai aset melebihi jumlah liabiliti yang ditanggungnya dan dakwaan syarikat itu hampir muflis hingga terpaksa menjual hotel yang dimilikinya, merupakan suatu penipuan semata-mata.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata status muflis berlaku apabila segala bentuk aset yang dimiliki oleh sesebuah syarikat itu tidak mencukupi untuk menanggung liabiliti seperti tidak cukup untuk membayar hutang.

Katanya apa yang berlaku ke atas Felda adalah sebaliknya.

"Semasa kita mempunyai lebihan, kita tukar kepada simpanan bank atau membeli harta tetap. Oleh itu, antara harta tetap yang kita jual itu merupakan sebahagian cara kita untuk membetulkan aliran tunai.

"Tak guna kita mempunyai harta yang banyak dan kita tak nak jual," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Sembang Santai bersama Pengerusi Felda anjuran Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal di sini pada Khamis.

Sebelum ini, dilaporkan Felda bertindak menjual Grand Plaza Serviced Apartments di London sebagai antara inisiatif penyusunan semula aset dan langkah penstrukturan untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya.

Shahrir berkata Felda bermula dengan defisit hutang pada tahun lepas dan syarikat itu perlu mencari jalan untuk menyelesaikan hutang tersebut antaranya memperoleh dana dalaman dengan mencairkan asetnya.

Beliau berkata tindakan mencairkan aset yang dibeli ketika syarikat mempunyai lebihan tidak akan sama sekali menjejaskan perjalanan dan tanggungjawab Felda kerana aset yang dicairkan itu tidak terlibat dalam perniagaan teras syarikat itu.

"Kalau kita jual hotel di London itu yang sampai menjejaskan kebajikan dan kesejahteraan peneroka Felda, memang kita tidak akan lakukan.

"Sekarang kita berbalik kepada tanggungjawab asal kita, perniagaan teras kita. Hotel bukan tanggungjawab dan perniagaan teras kita," katanya.

Sementara itu, Shahrir berkata beliau yakin dengan kemampuan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Venture Berhad (FGV) Datuk Zakaria Arshad yang akan menyambung semula tugasnya pada 16 Okt ini selepas digantung sejak Jun lepas.

Beliau berkata gandingan Zakaria dan Pengerusi FGV Datuk Azhar Abdul Hamid dilihat mampu melaksanakan tugas mereka sebagai pengendali sebuah anak syarikat Felda yang dapat berdaya saing dalam bidang perniagaan.

"Saya yakin gandingan mereka akan mampu menerajui FGV untuk terus berjaya dalam perniagaan. FGV merupakan anak manakala Felda sebagai bapa. Sudah tentu, saya meletakkan keyakinan terhadap entiti ini untuk berkembang dan memperoleh kejayaan untuk memajukan Felda," katanya.

Pada Jun lepas, Zakaria, diarah bercuti bagi membolehkan proses siasatan dalaman dilakukan berikutan dakwaan salah laku dijalankan membabitkan urus niaga antara anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd dan rakan niaga lama, Safitex Trading LLC yang berpejabat di Afghanistan.

-- BERNAMA